Cools cipta kejutan ala Antony MU, tapi lain pula dipertikai penyokong


  • Podium
  • Khamis, 15 Sep 2022

Cools dikhabarkan hanya 'singgah' ke kelab berkenaan selama empat bulan sebelum menyertai pasukan Johor Darul Takzim musim hadapan. — Agensi

PERTAHANAN kacukan skuad kebangsaan, Dion Cools mencipta kejutan ala-ala pemain muda Manchester United, Antony Santos apabila menjaringkan gol pertama pada debutnya bersama pasukan baharu, FK Jablonec.

Pemain berusia 26 tahun tersebut baru sahaja diumumkan menyertai kelab terbabit Isnin lalu setelah mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan FC Midtjylland, minggu lalu.

Pada perlawanan tersebut, Cools berhasil menembus masuk senarai kesebelasan utama ketika pasukannya turun menentang pasukan divisyen ketiga, Motorlet Praha dalam aksi Pusingan 2 Piala Czech.

Bukan itu sahaja, kepercayaan yang diberikan oleh ketua jurulatih, David Horejs dibalasnya dengan menjaringkan gol voli yang cukup cantik setelah menerima hantaran lambung daripada rakan sepasukan, Housky sekitar minit ke-17.

Lebih menarik, gol tersebut bukan sahaja menjadi jaringan sulungnya bersama kelab berjulukan Galacticos ini, bahkan dalam kancah bola sepak Republik Czech itu sendiri.

Selepas jaringannya itu, tiga rakan sepasukannya, Jakub Martinec, Honza Chramosta dan Jan Chramosta berjaya menambah satu gol masing-masing.

Jaringan-jaringan tersebut telah membantu FK Jablonec menamatkan perlawanan dengan keputusan kemenangan bergaya 4-0 sekaligus membolehkan mereka mara ke pusingan ketiga.

Pada perlawanan itu, Cools beraksi penuh tanpa ditukarkan oleh ketua jurulatihnya, sekali gus menepati impiannya untuk menambah minit permainan dalam rekod kariernya.

Untuk pengetahuan semua, saingan Piala Czech atau nama komersilnya, Piala Mol merupakan kejohanan bola sepak kalah mati seumpama saingan Piala FA di Malaysia.

Walaupun persembahan Cools menakjubkan, namun tumpuan penyokong tempatan lebih kepada keadaan padang yang disifatkan sebagai terlalu kecil untuk permainan berbentuk liga.

Amirul Fitri berkata: "Macam main petang-petang sahaja. Taman mana ini?" sebelum dijawab ROTP " kelab persinggahan, OK lah itu."

"Gila hina betul pemain Malaysia main luar negara main dapat main dalam padang rakyat marhaen sahaja," kata Az Azhar.

Fahmi Jamal menyambung: "Padang kelapa sawit manalah dia buat perlawanan ini.

Aaron Papik Ricky pula sempat memerli: "Baiklah stadium kecil padang cantik. Ni stadium satu dunia muat masuk tapi tolak air pun pakai kadbord, tempat duduk banjir boleh buat jakuzi." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram