Bintang muda Man United beri gelaran baharu buat Ronaldo


  • Podium
  • Selasa, 20 Sep 2022

Ronaldo rapat dengan salah seorang pemain baharu Man United iaitu Martinez. — Agensi

CRISTIANO Ronaldo diberi nama panggilan baharu oleh rakan sepasukannya di Manchester United.

Pemain berusia 37 tahun itu menjaringkan gol pertamanya musim ini ketika The Red Devils menang selesa 2-0 ke atas pasukan Sheriff, Khamis lalu. Satu lagi gol Man United dijaringkan oleh Jadon Sancho.

Ia merupakan detik penting bagi Ronaldo, yang bergelut untuk meneruskan musim ini selepas berdepan masalah kekurangan minit permainan.

Namun penyerang Man United itu kini nampak semakin selesa selepas kembali mendapat rentak bersama The Red Devils di bawah kendalian Erik ten Hag.

Dia juga kelihatan rapat dengan salah seorang pemain baharu Man United, Lisandro Martinez.

Bekas pemain Ajax itu mendedahkan nama panggilannya untuk Ronaldo selepas memuat naik semula salah satu foto di Instagram bintang Portugal itu.

Martinez menulis, "El bichoooo", yang bermaksud 'The Bug' dalam bahasa Inggeris dan nama samaran baharu yang diberikannya kepada Ronaldo itu semakin popular.

Pemain Argentina itu menjadi kegemaran peminat di Old Trafford selepas tiba di kelab itu dari Ajax pada musim panas.

Bintang muda itu memainkan peranan penting dalam pemulihan prestasi The Red Devils baru-baru ini.

Martinez juga memuji persembahan Ronaldo menentang Sheriff dalam perlawanan terbaru mereka.

"Kami tahu betapa pentingnya gol buat Ronaldo. Ia untuk keyakinannya dan juga buat pasukan," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram