LIVERPOOL dikhabarkan sanggup berbelanja besar untuk mendapatkan bintang Borussia Dortmund, Jude Bellingham, demikian menurut wartawan Dean Jones.
Bayaran perpindahan itu mungkin akan memecahkan rekod sedia ada The Reds ketika membawa masuk Darwin Nunez.
Berdasarkan laporan givemesport.com, Nunez menjadi pemerolehan paling mahal dalam sejarah The Reds apabila nilai perpindahannya dari kelab Portugal, Benfica ke Liverpool berjumlah £85 juta (RM442.30 juta).
Difahamkan, Bellingham dikenal pasti oleh skuad pencari bakat Liverpool sebagai pemain tengah utama dan sedang mengusahakan perjanjian yang bakal menyaksikan dia ke Merseyside pada musim panas akan datang.
Dortmund dikatakan tidak membenarkan pemergian pemain itu dengan nilai kurang daripada £103 juta (RM536.65 juta) semasa jendela perpindahan musim panas.
Selain Liverpool, beberapa kelab gergasi lain seperti Real Madrid, Chelsea, Manchester City dan Manchester United dikhabarkan turut berusaha mendapatkan pemain berusia 19 tahun itu.
Meskipun berdepan saingan sengit daripada kelab lain, The Reds dijangka berjaya mengikat Bellingham yang turut bermain untuk skuad antarabangsa England.
Jones percaya Liverpool tidak kisah berbelanja besar dan memecahkan rekod perbelanjaan mereka untuk mendapatkan Bellingham.
Bercakap kepada givemesport.com, Jones berkata: “Saya rasa mereka sanggup memecahkan rekod perpindahan untuk menandatangani Bellingham.
Pemain berjersi nombor 22 itu disifatkan sebagai 'luar biasa' oleh Pep Guardiola selepas Dortmund tewas kepada Manchester City dalam pertembungan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara minggu lepas.
Bellingham mungkin tidak mempunyai pengalaman beraksi di Liga Perdana Inggeris, tetapi dia telah membuat 100 penampilan di Jerman dan mencatatkan 31 sumbangan gol setakat ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram