Cristiano Ronaldo bukti diri bukan kuda tua, tamat kemarau gol terburuk 16 tahun


  • Podium
  • Jumaat, 16 Sep 2022

Sepakan penalti Ronaldo membawa kemenangan buat pasukan Man United pada Jumaat. — Agensi

SETELAH bertungkus lumus mengembalikan zaman kegemilangannya, bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo akhirnya berjaya menamatkan badi buruk yang mengekorinya musim ini apabila meledakkan gol pertamanya pada Jumaat.

Gol yang diraih menerusi sepakan penalti pada minit ke-39 tersebut merupakan gol pertama Ronaldo dalam Liga Europa sekali gus memberikan Manchester United kemenangan 2-0 ke atas pasukan Sherif di Moldova.

Lebih mengharukan, gol berkenaan juga yang pertama buat pasukan The Red Devils dalam lapan perlawanan, selepas kali terakhir menjaringkan gol menentang Brentford pada Mei lalu

Prestasi tersebut menepis dakwaan bahawa bintang dunia itu telah hilang bisa terutama apabila pemain Portugal itu mencatatkan kemarau gol paling lama dalam masa 16 tahun kariernya.

Kali terakhir dia melalui prestasi hambar sebegitu adalah ketika bermain 10 perlawanan tanpa menemui sebarang gol untuk MU antara Mac dan Mei 2006.

Ten Hag meramalkan kebangkitan Ronaldo selepas gol berharga tersebut. — Agensi

Sejak itu, pemain yang terkenal dengan jolokan CR7 itu terus menjadi mesin gol buat pasukan yang diwakilinya dan kini hanya ketinggalan satu gol daripada rekod 700 gol dalam kariernya.

Untuk rekod, gawang Sherif merupakan yang ke-124 dibolosi pemain berusia 37 tahun tersebut dan kejayaan itu disambut meriah rakan-rakan sepasukannya biarpun terdapat khabar angin bahawa dia bakal berpindah pada Januari nanti.

Penyerang itu banyak dikaitkan dengan perpindahan musim panas kerana keinginannya untuk bermain dalam Liga Juara-Juara tetapi masih belum menemui kelab yang mahu menandatanganinya.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Man United, Erik Ten Hag meramalkan gol sulung dalam lapan perlawanan itu akan membuatkan Ronaldo lebih berkeyakinan untuk menambahkan lagi rekod pada masa akan datang.

“Kami boleh menjangkakan detik ini akan berlaku apabila setelah dia terlepas pada pramusim, dia perlu bekerja keras dan melabur untuk mendapatkan kecergasan yang betul," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram