'Kenapa Manzoor tak boleh?', penyokong Penang FC persoal isu kejurulatihan


  • Podium
  • Ahad, 18 Sep 2022

Manzoor Azwira sudah bertahun-tahun menimba pengalaman bersama Penang FC. — Facebook/Pulau Pinang FA

SELEPAS satu musim yang cemerlang di Liga Super tahun lalu, Penang FC kini berada dalam keadaan terumbang-ambing selepas mereka terdampar di dasar carta liga.

Pasukan yang hanya mencatatkan satu kemenangan sepanjang musim itu jelas bergelut untuk mencatatkan keputusan baik meskipun berlakunya pertukaran staf kejurulatihan pada Mei lalu.

Kehadiran ketua jurulatih berpengalaman, Datuk Zainal Abidin Hassan seakan-akan tidak memberi kejayaan kepada skuad Harimau Kumbang walaupun pasukan itu berjaya mencatatkan kemenangan sulung di bawah kendalian beliau.

Jadi, tidak hairanlah sekiranya penyokong mahu tindakan selanjutnya daripada pihak pengurusan untuk mencari jalan penyelesaian kepada kemerosotan ketika ini.

Namun, pihak pentadbiran sudah mempunyai solusi awal apabila mereka, pada Disember lalu telah mengumumkan penolong jurulatih, Manzoor Azwira bakal mengemudi pasukan itu pada 2023 sekiranya sudah menyelesaikan pengambilan kursus AFC Pro Diploma.

Manzoor sememangnya seorang individu yang cukup dikenali dan penting buat Penang FC apabila dia berjaya membawa pasukan itu ke saingan Liga Super pada 2019.

295312461_470550051564467_2735982880346772470_n

Penang FC berada di kedudukan tercorot Liga Super musim ini. Facebook/Penang FC

Perkara itu pasti memberikan sedikit harapan kepada peminat kelab itu dengan ramai daripada mereka tidak mengharapkan Zainal Abidin mengekalkan jawatannya musim depan.

Bagaimanapun, segelintir penyokong masih mahukan Manzoor dibawa masuk lebih awal apabila pengendali sebelum ini, Tomas Trucha dinasihatkan untuk berehat daripada tugasan kejurulatihan.

Perkara ini disuarakan menerusi laman Facebook Penang Brotherhood yang menjelaskan tindakan Malaysia Football League (MFL) untuk menyekat peluang Manzoor adalah tidak wajar.

"Kamu semua tengok MFL punya sikap pilih kasih kerana pasukan Melaka United FC (MUFC) menggunakan khidmat pembantu jurulatih, Asri Ninggal yang sedang mengambil lesen kejurulatihan Pro A.

"Tetapi, bagi Penang FC, kenapa Manzoor tak boleh jadi ketua jurulatih meskipun dia sedang mengambil lesen kejurulatihan Pro A untuk membimbing pasukan ini," katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut, penyokong bola sepak tanah air itu juga berkata, bertahu lamanya Manzoor bersama Harimau Kumbang dan ia menjadi alasan kukuh untuk peminat mahukan anak jati itu menjadi ketua jurulatih musim depan.

"Jika kita lihat sebelum ini, jurulatih itu sememangnya mempunyai pencapaian cemerlang bersama Penang FC termasuk menjuarai Liga Perdana 2020 selain membawa pasukan bergelar juara Liga FAM ketika bertugas sebagai pembantu jurulatih kepada Merzagua Abderrazak.

"Tetapi, sekiranya kita lihat kepada rekod Zainal Abidin pula, beberapa tahun dia bersama Harimau Kumbang, pasti akan kecundang seperti pada 2017 kami jatuh daripada kancah Liga Super," katanya.

Sepanjang berada di bawah kendalian Zainal Abidin, Penang FC hanya berjaya mengumpul empat mata serta tersingkir di peringkat separuh akhir Piala FA kepada juara, Johor Darul Takzim (JDT). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram