PERTEMBUNGAN di antara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Penang FC dalam 'The Northern Derby' menyaksikan pasukan kendalian Aidil Sharin Ishak berjaya membawa pulang tiga mata berharga.
Kemenangan itu pastinya menghadirkan kegembiraan kepada pemain dan penyokong apabila mereka berjaya mematahkan episod-episod kekalahan dalam liga.
Kemenangan tipis yang diperolehi menerusi gol pemain import, Ronald Wanja memastikan pasukan Hijau Kuning itu berjaya menumpaskan seteru setempat mereka sekaligus memperkuatkan lagi cengkaman dalam carta Liga Super.
Kejayaan itu juga memberikan tekanan kepada pasukan di tangga keenam, Sri Pahang FC dengan kumpulan mata yang terikat dan hanya dibezakan dengan jumlah jaringan.
Selain itu, skuad Sang Kenari mempunyai kelebihan dua perlawanan yang juga memberikan amaran berwaspada kepada KL City FC di tangga kelima dengan hanya 22 mata.
Namun, berbeza buat penyokong Harimau Kumbang apabila kekalahan itu seakan-akan mengesahkan kedudukan mereka di tangga tercorot selepas 17 perlawanan dalam satu musim yang cukup sukar bagi mereka.
Setelah hanya berjaya merekodkan satu kemenangan, kekalahan yang dialami di Stadium Darul Aman dirasakan ibarat belati tajam yang tepat menusuk hati penyokong.
Ngah Wanja (kuning kiri) kelihatan berada dalam keadaan offside sebelum menjaringkan gol.
Bagaimanapun, mereka tidak menunding jari ke arah pemain atau ketua jurulatih, Datuk Zainal Abidin Hassan di atas kekalahan ke-12 itu.
Sebaliknya, mereka mengatakan keputusan pengadil yang tidak saksama menjadi punca kepada kegagalan untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.
Malahan, penyokong melihat dan turut mempersoalkan mutu pengadilan dengan mengatakan gol jaringan Ngah Wanja tidak sepatutnya diberikan apabila penyerang itu berada dalam keadaan offside ketika menerima hantaran daripada Syazwan Zainon.
Meskipun ada yang mengatakan pemain pertahanan Penang FC, Jafri Firdaus berkedudukan selari dengan Wanja, segelintir daripada mereka melihat keputusan pengadil itu satu kesilapan.
"Biar betul pengadil dan penjaga garisan ni? Saya nampak memang jelas offside di situ dengan Wanja berada lebih jauh daripada penyerang terakhir," kata Hafiz Nano.
"Macam offside je gol ke Kedah tu, sekiranya ada sistem Video Assistant Referee (VAR) digunakan dalam Liga Malaysia, pasti ia akan digunakan dengan cukup kerap kerana kualiti pengadil yang tidak sesuai," kata Zikrie de Engatie.
"Sejujurnya, aku rasa gol yang dijaringkan Kedah adalah ketika berada dalam keadaan offside, apa-apapun, tahniah kepada mereka. Bagi Penang FC pula, kita perlu melupakan musim ini dan bangkit seawal mungkin," kata Kenneth Chew.
Penang FC selepas ini bakal berdepan cabaran Terengganu FC sementara Sabah bakal berkunjung ke Stadium Hang Jebat dalam misi memburu menambah baik kedudukan mereka dalam Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram