'Kurang-kurang 5 gol,' Sang Kenari perlu manfaat krisis Hang Tuah


  • Podium
  • Jumaat, 09 Sep 2022

KEHADIRAN penyokong Hijau Kuning pasti akan memberi kelebihan ketika berdepan Melaka United FC. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

KEMENANGAN yang dicatatkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) ke atas Penang FC memberi kelegaan kepada penyokong Hijau Kuning yang optimis dengan saki baki perlawanan musim ini.

Meskipun hanya mengatasi seteru setempat itu dengan satu jaringan, ia merupakan kemenangan pertama mereka dalam empat perlawanan selepas kali akhir mengutip tiga mata penuh ketika berdepan Sarawak United Julai lalu.

Dalam pertembungan di Stadium Darul Aman itu, penyerang import, Ronald Wanja menjaringkan gol kesepuluhnya dalam saingan liga walaupun baru sahaja menyertai mereka awal tahun ini.

Selain itu, kemampuan benteng pertahanan Helang Merah juga menjadi topik perbualan apabila mereka seperti selesa menangkis serangan yang dilakukan pemain Harimau Kumbang pada perlawanan itu.

Bagi Sang Kenari, kemenangan itu juga membuka peluang mereka untuk menamatkan kempen ini dengan kedudukan yang lebih cemerlang apabila mereka berjaya mengikat mata dengan Sri Pahang FC.

Kelebihan juga memihak kepada KDA FC apabila mereka mempunyai dua perlawanan yang masih tertunggak berikutan kempen Piala AFC 2022 yang mengganggu jadual Liga Super mereka.

302013768_497248965569792_2892980311427164909_n (1)

Rentak kemenangan KDA FC pasti mahu diteruskan. Facebook/Kedah Darul Aman FC

Lebih-lebih lagi, mereka selepas ini bakal berdepan pasukan bergelut, Melaka United FC (MUFC) yang baru sahaja menjadi mangsa kepada amarah Terengganu FC sebelum ini.

Jadi, tidak hairanlah sekiranya segelintir peminat sudah bergembira terlebih dahulu dengan peluang mereka untuk setidak-tidaknya menamatkan musim ini dengan lebih bermaruah.

Bagi seorang penyokong menerusi Facebook Hijaukuning.com, skuad Sang Kenari perlu menggunakan peluang keemasan ini dengan mendapatkan kesemua tiga mata berharga.

"Pasukan Kedah harus mengambil peluang dengan mengambil tiga mata penuh pada perlawanan ini tatkala pasukan Melaka dihimpit dengan masalah dalaman seperti yang semua sedia maklum," katanya.

Perkara itu juga dipersetujui Rosli Saad yang mengharapkan kesemua pemain diturunkan dengan keazaman dan tahap kecergasan di tahap terbaik.

"Saya nampak semua macam cergas, kecuali Azamuddin Akil yang mungkin masih belum bebas daripada kecederaan jadi, insya-ALLAH tiga mata berjaya diraih pada perlawanan ini," katanya.

Rijal A Shukor pula berkata, konflik yang dihadapi skuad Hang Tuah perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan mencari peluang untuk memperbaiki jumlah gol pasukan itu.

"KDA FC perlu menggunakan peluang keemasan ini kerana Melaka United sedang dalam masalah, jadi sekurang-kurangnya kita boleh jaringkan lima gol," katanya.

KDA FC ketika ini berada di kedudukan ketujuh liga dengan 21 mata dan kemenangan pada Jumaat malam mampu meletakkan mereka di kedudukan kelima di atas KL City FC.

Bagi MUFC pula, anak-anak buah Asri Ninggal juga pasti menambah baik prestasi mereka selepas dua kekalahan yang memalukan secara berturut-turut di tangan Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram