Sang Penyu intai 'Top 3' Liga Super, Sang Kumbang harap keajaiban lakar kejutan


  • Podium
  • Rabu, 14 Sep 2022

Satu-satunya kemenangan Penang FC musim ini adalah ketika bertemu skuad Sang Penyu pada Jun lepas. — Facebook/Penang FC

TIDAK lama selepas tewas kepada Johor Darul Takzim (JDT) di pentas akhir Piala FA pada Sabtu, Terengganu FC (TFC) kini perlu memberi perhatian ke arah perlawanan ke-18 Liga Super menentang Penang FC di laman sendiri pada Rabu.

Bukan saja tewas dari segi keputusan ketika berdepan JDT, skuad kendalian Nafuzi Zain juga tidak mampu menunjukkan permainan yang bertenaga di atas padang apabila pemain JDT terus memberi saingan hebat sepanjang 90 minit perlawanan.

Kekalahan itu turut mengakibatkan peluang mereka untuk beraksi di pentas Asia musim depam semakin malap dengan kelayakan ketika ini bergantung kepada kedudukan terakhir dalam liga.

TFC, yang kini berada di tangga keempat Liga Super, pasti mahu turun ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dengan semangat dan kesungguhan bagi melupakan kekecewaan final Piala FA.

306011297_1547280712369271_6625697120682970984_n

Pemain Terengganu FC pasti mahu bangkit semula. Facebook/Terengganu FC

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya para penyokong mendambakan rentak dan corak permainan yang lebih bersemangat dalam usaha menghidupkan semula peluang mereka beraksi di Piala AFC musim depan.

Seorang penyokong, Mel Melina berkata, tiga mata wajib dibawa pulang bagi memastikan mereka mampu menamatkan saingan liga di tangga tiga teratas.

"Semoga berjaya untuk mencari tiga mata dalam usaha mengukuhkan slot ke Piala Malaysia dan Piala Asia dan saya sebagai penyokong, tidak akan berganjak walaupun seinci," katanya.

Ahmad Ilmam pula berkata, pasukan kendalian Nafuzi perlu menggunakan segala kudrat mereka dalam usaha mengekalkan momentum dan kejayaan bagi musim depan.

"Wajib menang perlawanan ini jika kita mahu bermain di Piala AFC dan jika kita kalah juga, perlu berharap agar Negeri Sembilan FC dan Sabah FC juga tidak dapat mengutip mata penuh," katanya.

Bagi Muhammad Syahir pula, dia juga berharap agar TFC dapat meraih kemenangan pada pertemuan itu berikutan kekalahan yang dicatatkan ketika bertemu JDT tempoh hari.

"Saya harap semoga Terengganu FC boleh menang perlawanan berbaki Liga Super untuk mengubati kekalahan yang dialami semasa perlawanan akhir Piala FA," katanya.

Sementara itu, bagi penyokong Harimau Kumbang pula, kedudukan mereka di dasar carta Liga Super seakan-akan sukar untuk diselamatkan setelah hanya mampu meraih tujuh mata setakat 17 perlawanan.

Selepas satu kempen yang cemerlang musim lalu, konflik pengurusan dan staf kejurulatihan mengakibatkan pasukan itu semakin sukar untuk mengubah nasib mereka tahun ini.

305971605_504108701541935_7115116659893254019_n

Ketua jurulatih Penang FC, Datuk Zainal Abidin Hassan pasti mahu persembahan lebih cemerlang. Facebook/Penang FC

Walaupun perubahan struktur Liga M membolehkan mereka beraksi dalam Liga Super musim depan, peluang Penang FC beraksi di Piala Malaysia semakin sukar berikutan kutipan mata mereka ketika ini.

Hanya berjaya mengutip satu kemenangan dalam liga, peluang mereka untuk mencatatkan kemenangan pasti sukar, lebih-lebih lagi dengan prestasi dan kemampuan TFC.

Suka atau tidak, penyokong mengharapkan sentuhan magis daripada ketua jurulatih, Datuk Zainal Abidin Hassan untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata.

"Pemain Terengganu FC dah penat dalam perlawanan final Sabtu lalu, silap-silap ada antara mereka yang dialami kecederaan tetapi, kalau perlawanan ini pun boleh kalah, saya pun tidak tahu apa hendak dikatakan," kata penyokong Penang FC, Mierul GenStylo.

"Saya rasa kita boleh menang jika menentang Sang Penyu sebab saya lihat dalam pertembungan sebelum-sebelum ini, mereka sukar untuk menang ke atas Penang FC. Seperti ada badi," kata Anas Che Ibrahim.

Pada 22 Jun, Penang FC berjaya mengejutkan TFC dengan kemenangan tipis 2-1 di laman sendiri, namun itulah satu-satunya kemenangan tunggal Sang Kumbang dalam saingan Liga Super musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram