Jika masih dihantui masalah sama, 3 kelab bakal 'flop' bila-bila masa musim 2023


  • Podium
  • Khamis, 08 Sep 2022

Penang FC masih kekal menjadi kelab tercorot Liga Super biarpun sudah berada di bawah kendalian Zainal. — Facebook/Penang FC

LIGA Malaysia 2022 yang bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi bakal menyaksikan beberapa pasukan teratas seperti Johor Darul Takzim (JDT), Sabah FC dan Negeri Sembilan FC masih kekal sebagai tiga kuasa besar di persada Liga Super.

Ketiga-tiga pasukan itu juga mempunyai persamaan yang sama apabila merupakan antara pasukan yang tidak terpalit dengan masalah prestasi, isu gaji dan konflik dalaman sehingga mengganggu fokus barisan pemain dan kejurulatihan.

Selain ketiga-tiga skuad tersebut, di penghujung saingan Liga M musim ini juga menyaksikan beberapa pasukan membuat perbaharuan dalam pasukan mereka iaitu Kedah Darul Aman (KDA FC) apabila mengumumkan usahawan Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar sebagai pemilik saham terbesar, manakala beberapa kelab lain seperti Perak FC dan Kelantan FC turut semakin rancak mengumumkan penaja masing-masing.

Jika kelab-kelab tersebut merupakan contoh terbaik kepada pasukan lain, berbeza pula dengan tiga skuad yang berkemungkinan bakal gagal pada saingan musim 2023 jika masih dibelenggu masalah sama.

Berikut merupakan tiga pasukan Liga M yang berkemungkinan akan gagal memberikan saingan pada Liga Super 2023 jika tidak berbuat sesuatu;

1) Sarawak United

sufcc

SUFC kini berada pada kedudukan ke-11 Liga Super. — Facebook/SUFC

Berita sedih buat penyokong Sarawak United FC (SUFC) apabila pasukan itu berdepan isu tunggakan gaji selama empat bulan membabitkan pegawai, barisan kejurulatihan dan barisan pemain termasuk tonggak importnya, Boris Kok.

Susulan perkara itu, Malaysia Football League (MFL) mengarahkan Sarawak United untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji dalam tempoh 14 hari berkuatkuasa pada 26 Ogos lalu dan pihak MFL juga menyalurkan sejumlah RM100,000 bagi membantu pemain dan pegawai skuad itu.

Dengan masalah gaji yang sebegitu, Sarawak United yang dimiliki oleh Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) nampak tidak begitu cemerlang menguruskan skuad itu dan berkemungkinan perlu melakukan perubahan dari segi pengurusan bagi kekal relevan pada musim 2023.

Oleh itu, Sarawak United perlu ikui jejak langkah Perak FC yang sudah selesai dengan isu gaji selepas syarikat telekomunikasi terkenal, XOX Berhad menjadi pemilik baharu kelab itu dan melakukan perubahan besar kepada pasukan berkenaan.

2) Melaka United

MUFC

MUFC kini dibelenggu masalah tunggakan gaji serius. — Facebook/MUFC

Contoh terbaik kelab yang asyik berdepan masalah gaji yang sama saban tahun. Selepas dakwaan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bola Sepak Melaka United (MUFC), Datuk Justin Lim meletakkan jawatan dan meninggalkan pasukan itu, ramai yang bersedih kerana beliau merupakan individu yang membantu pasukan itu keluar daripada belenggu berkenaan pada musim lalu.

Justin yang menerusi KenTeam Sdn Bhd (KenTeam) muncul pemilik baharu Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) pada April 2021 dengan menguasai 70 peratus pegangan saham.

Terdahulu, Justin difahamkan menggunakan duit poket sendiri demi mengotakan janji dengan melunaskan bayaran gaji pemain dan jurulatih yang tertunggak selama tiga bulan pada musim berkenaan.

Dengan isu Justin dikatakan mengundur diri, beliau menjelaskan bahawa wujudnya isu pegangan saham dalam MUFC, namun beliau tetap komited untuk terus menerajui pasukan berkenaan.

Sekiranya Melaka United ingin mengelak daripada berlaku masalah gaji sehingga menggangu prestasi pemain, Justin perlu merealisasikan hasrat menjadi pemilik penuh dengan pegangan 100 peratus saham kelab itu.

Hal ini kerana, pemilikan seratus peratus boleh memberikan kebebasan kepada Justin untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat seperti yang dilakukan oleh pemilik Kelantan, Norizam Tukiman.

3) Penang FC

zainalllll

Zainal dianggap tidak memberi impak kepada Penang FC. — Facebook/Penang FC

Pertukaran jurulatih baharu pada jendela perpindahan musim kedua nampaknya masih tidak memberi impak positif buat Penang FC apabila pasukan itu kekal terperosok di tangga terbawah Liga Super di bawah kendalian Datuk Zainal Abidin Hassan.

Ini bukan kali pertama Penang terperosok di tangga bawahan liga semasa di bawah kendalian Zainal apabila Harimau Kumbang pernah menghuni tempat tercorot ketika dikendalikan beliau dengan 16 kekalahan dan tiga kemenangan sahaja pada musim 2017.

Sebelum kembali bersama Penang, Zainal pernah mengemudi Melaka United selama tiga musim bermula 2018, namun jodoh antara Zainal yang juga bekas pemain kebangsaan era 90-an dengan skuad Hang Tuah tidak berpanjangan apabila khidmatnya menemui titik noktah pada musim 2022.

Sewaktu Liga Super musim 2021, Zainal Abidin hanya berjaya meletakkan Melaka United pada kedudukan kelapan liga dengan hanya merekodkan sebanyak lima kemenangan daripada 22 perlawanan.

Rekod yang disifatkan tidak cemerlang ini cukup menjadi bukti kukuh buat pengurusan Penang FC agar tidak mengambil jurulatih sekadar tangkap muat termasuk Zainal selepas itu sekali gus memastikan Harimau Kumbang kekal relevan pada musim 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram