Penyokong merusuh, Presiden Persebaya Surabaya undur diri


  • Podium
  • Sabtu, 17 Sep 2022

CEO Persebaya Surabaya, Azrul Ananda melepaskan jawatannya selepas lima tahun memegang kelab itu. — Agensi

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Persebaya Surabaya, Azrul Ananda membuat satu perkara yang mengejutkan dengan meletakkan jawatan selepas kelab itu bergelut pada musim ini.

Dia yang juga merupakan presiden pasukan itu mengambil keputusan tersebut selepas mengalami kekalahan di tangan RANS Nusantara yang berada di kedudukan ke-10 dalam Liga 1 Indonesia.

"Sekiranya kita ditanya mengenai penilaian terhadap kelab, pasti saya akan menilai diri saya sendiri kerana pada malam perlawanan itu, saya dan penyokong bersama-sama di stadium.

"Saya perlu tanya diri saya sendiri, adakah saya merupakan orang yang tepat untuk membawa Persebaya Surabaya ke tempat dan tahap yang lebih tinggi lagi?" katanya.

Tambahnya, meskipun sudah mengundur diri, Azrul akan terus menjaga kebajikan dan situasi pasukan itu sebelum pemilik baharu mengambil alih pengurusan.

"Saya akan meletakkan jawatan sebagai CEO, tetapi kesemua tanggungjawab dan pembayaran akan kami kedua-dua pihak selesaikan sebaik mungkin kerana saya bukan seorang yang lari daripada tanggungjawab," katanya.

Selain itu, dia juga berharap semangat dan azam yang dipasang bekas juara Liga 1 Indonesia itu tidak luntur dan bercita-cita untuk melihat pemegang saham utama seterusnya merupakan anak jati daerah itu.

Kekalahan kepada RANS Nusantara, skuad berpengkalan di Timur Jawa itu tewas dengan skor 1-2, meletakkan diri pasukan mereka di tangga ke-14.

Lebih teruk lagi, penyokong yang kecewa dengan prestasi kelab itu merusuh di Stadium Pakansari sehingga menyebabkan kerosakan yang teruk.

Selain itu, mereka turut menyerbu pejabat pengurusan Persebaya Surabaya untuk mendapatkan penjelasan serta berharap agar mencari jalan penyelesaian bagi berhubung prestasi buruk kelab itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram