KETIKA perhatian penonton bola sepak tempatan dialihkan ke arah pentas akhir Piala FA 2022, terdapat satu perlawanan Liga Super yang dimainkan sebelum perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.
Pertembungan di antara Sabah FC dan Selangor FC merupakan satu perlawanan yang cukup menarik apabila kedua-dua mereka mempunyai misi dan objektif yang berbeza.
Namun, kemenangan berpihak di tangan The Red Giants dengan skor 3-2 meskipun kelebihan dua gol mereka berjaya disamakan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee.
Gol-gol yang dijaringkan Mukhairi Ajmal, Brendan Gan dan Hein Htet Aung memastikan penantian untuk mendapatkan tiga mata ditamatkan setelah enam perlawanan tanpa sebarang kemenangan.
Bagi Sabah FC pula, mereka terpaksa akur dengan serangan bertubi-tubi yang dilancarkan pasukan kendalian Nizam Jamil sepanjang 90 minit aksi di Stadium Likas.
Meskipun berjaya menamatkan tempoh masa pertama dengan dua gol hasil daripada Baddrol Bakhtiar dan Jose Embalo, kekalahan itu menyebabkan mereka terpaksa bekerja lebih keras untuk melayakkan diri ke pentas Asia musim depan.
Ketiadaan beberapa pemain dikatakan penyokong sebagai antara punca di atas kekalahan keempat mereka musim ini yang memberi kesan terhadap rentak dan tempo permainan dalam perlawanan getir itu.
1. Gary Steven Robbat
Selepas hampir enam musim memanaskan bangku simpanan Johor Darul Takzim (JDT), Gary Steven Robbat mula menampilkan persembahan terbaik sepanjang kariernya bersama The Rhinos.
Pemain yang pernah berlatih bersama gergasi Jerman, Borussia Dortmund ini sukar mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama Harimau Selatan berikutan kehadiran pemain berkualiti dalam skuad itu.
Namun, di bawah kendalian Kim Swee, pemain berjersi nombor 20 itu menjadi tulang belakang kepada kemaraan pasukan tersebut sehingga membolehkan mereka menduduki tangga kedua Liga Super.
Meskipun tidak mencatatkan sebarang bantuan gol dan jaringan peribadi, peranan Gary sangat penting sebagai pemain tengah bertahan dalam memastikan barisan serangan pihak lawan sukar menembusi benteng pertahanan Sabah FC.
Kemampuannya untuk mendapatkan semula bola dan membaca permainan menjadi aset utama buat pemain kelahiran Kedah ini sehingga menyebabkan ketiadaannya dirindui.
Gary berada di prestasi terbaiknya sejak menyertai Sabah FC. — Instagram/garystevenrobbat
Walaupun skuad The Rhinos mempunyai pemain pertahanan kental seperti Rawilson Batuil dan Dominic Tan, kehadiran Gary juga menjadi faktor utama kepada kecemerlangan barisan pertahanan yang hanya dibolosi sebanyak 19 kali dalam Liga Super musim ini.
Dalam pertembungan bersama Selangor FC, pemain itu telah direhatkan bagi memberi peluang kepada Stuart Wilkin untuk bermain sebagai pemain tengah menyerang kelihatan kurang menyerlah.
"Apa saya lihat, bahagian tengah memang tidak menjadi apabila Gary tidak bermain kerana mereka kerap kehilangan bola dan tidak peka untuk melakukan bentesan awal," kata Anas Durasik.
"Corak permainan Sabah FC semalam adalah sangat tidak meyakinkan kerana kelihatan pengawalan bola tidak kemas dan gemar menggunakan hantaran panjang. Mungkin ada sedikit perbezaan sekiranya Gary diturunkan," kata Mourice Gabin.
2. Saddil Ramdani
Setelah hampir dua musim beraksi di Liga Malaysia, pemain kelahiran Indonesia, Saddil Ramdani sudah mendapatkan tempatnya dalam hati para penyokong.
Selain mempunyai kemampuan untuk menewaskan barisan pertahanan dengan kelajuannya, pemain berusia 23 tahun itu juga mempunyai kebolehan untuk menjaringkan gol dan melakukan hantaran yang berbahaya.
Sebagai contoh, dalam pertembungan antara Sabah FC dan KL City FC pada awal September menjulang nama Saddil apabila dia menjaringkan gol penyamaan pada minit-minit akhir permainan.
Tidak cukup dengan itu, prestasi Saddil dalam Liga Super juga mempunyai taring yang tersendiri apabila dia berjaya mencatatkan lima bantuan gol selepas 18 perlawanan.
Saddil (kiri) menjaringkan gol penyamaan ketika bertemu KL City FC. — Facebook/Sabah FC
Perkara ini menjadi aset penting buatnya sehingga kehilangan dalam pertembungan bersama Selangor FC dikatakan menjadi punca kepada kegagalan untuk mendapatkan tiga mata penuh.
Keputusan untuk merehatkan Saddil seperti memberi kesan kepada kemampuan The Rhinos apabila pemain sayap Jepun, Taiki Kagayama tidak memberi persembahan yang terbaik pada Sabtu malam.
"Bahagian serangan masih tumpul berbanding Selangor FC yang berani untuk membawa bola ke dalam kotak penalti Sabah FC. Mungkin jika ada Saddil, ia boleh memberi serangan yang lebih tajam," kata Johnson Benjamin.
"Tanpa Saddil dan Gary, jelas kelihatan yang kita masih perlu menambah baik pasukan, gol daripada Embalo pula saya lihat hanya sebagai satu kepuasan sementara," kata Ruslanhajimasni Lan.
3. Amri Yahyah
Seorang pemain veteran yang cukup dihormati dalam kalangan penyokong Sabah FC dan Selangor FC kerana sumbangan dan kehadirannya mengubah destinasi sesebuah pasukan.
Meskipun sudah berusia 41 tahun, semangat dan prestasi Amri Yahyah sukar untuk dipersoalkan apabila dia masih beraksi dengan cemerlang bersama The Rhinos.
Perkara ini dilihat apabila dia masih berjaya menjaringkan lima gol dalam saingan liga selain berjaya tampil dalam hampir kesemua perlawanan Liga Super.
Selain mempunyai kebolehan untuk beraksi di bahagian sayap, Amri juga boleh diturunkan sebagai penyerang kedua di atas kebolehan dan personalitinya untuk membuka ruang kepada rakan sepasukan.
Umur bukan penghalang untuk Wak Am terus beraksi dengan cemerlang. — Facebook/Sabah FC
Amri juga terkenal dengan kelincahannya, yang pasti memberi kelebihan ketika Sabah FC melancarkan serangan balas untuk menambah ketajaman kepada barisan serangan.
Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya kehilangan Amri dalam kesebelasan utama dirindui sehingga segelintir penyokong mengatakan ia merupakan antara faktor utama kekalahan itu.
"Sedikit kecewa kerana kesebelasan utama yang diturunkan bukanlah apa yang diharapkan dan saya juga kecewa dengan ketiadaan Gary, Saddil dan Amri dalam perlawanan ini," kata Sabudin Dullah Din.
"Ketiadaan pemain-pemain penting, terutama Gary dan Amri cukup memberi kesan kepada rentak dan kemampuan permainan Sabah," kata Khirhazhatul Khizhab. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram