KEHILANGAN pemain import Sabah FC, Saddil Ramdani sewaktu perlawanan menentang Selangor FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu lalu semakin merancakkan lagi status kontrak pemain berkenaan bersama The Rhinos.
Dalam saingan Liga Super itu menyaksikan Selangor FC berjaya memperoleh tiga mata berharga apabila menewaskan Sabah FC dengan keputusan 3-2.
Berikutan kekalahan itu, ada penyokong yang berasakan kehilangan Saddil pada perlawanan tersebut merupakan antara faktor Sabah dimalukan oleh skuad Gergasi Merah di laman sendiri.
Pada masa sama, lebih mengukuhkan bahawa desas-desus pemain berusia 23 tahun itu bakal berhijrah ke kelab yang berpangkalan di Eropah adalah disebabkan tindakan Saddil berkongsi sekeping gambar dengan ucapan selamat tinggal kepada rakan pasukannya.
Menerusi satu muat naik story Instagram, Saddil dilihat mengucapkan selamat tinggal kepada pemain sayap Sabah FC, Dirga Surdi dan gambar berkenaan mencetuskan kontroversi berkenaan status kontrak pemain sayap berkenaan.
Tangkap layar Saddil bersama Dirga. — Instagram
“Sampai jumpa kembali gagah lelaki-lelaki gagah @yeep_. Terima kasih sudi hantar,” tulisnya.
Menerusi semakan Majoriti di laman Instagram pemain Indonesia itu, rupa-rupanya difahamkan Saddil pulang ke kampung halaman untuk meraikan majlis graduasinya, sekali gus belum menjawab persoalan sebenar berhubung masa depannya di Stadium Likas.
Ia juga dikatakan mengapa Saddil tidak beraksi bersama Sabah FC ketika ditewaskan Selangor.
Saddil (tiga dari kiri) bersama rakan universitinya. — Instagram
Sebelum ini, Majoriti melaporkan bahawa pihak Sabah FC sudah menawarkan kontrak baharu kepada Saddil.
Bagaimanapun, pemain yang terkenal dengan kelincahannya itu masih belum membuat sebarang keputusan sama ada ingin melanjutkan kontrak bersama Sabah FC ataupun sebaliknya musim depan.
Pengurus Sabah FC, Marzuki Nasir mengakui bahawa pemain cemerlang seperti Saddil memang sangat diperlukan oleh Sabah FC namun keputusan tetap di tangannya sama ada kekal atau bertukar majikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram