'Di sana menanti, di sini menunggu,' status kontrak Saddil Ramdani akhirnya terjawab


  • Podium
  • Jumaat, 09 Sep 2022

Saddil mendapat tawaran daripada sebuah kelab di Liga Belarusia iaitu Dinamo Minsk. — Facebook Sabah FC

PEMAIN lincah Sabah FC, Saddil Ramdani sekali lagi menjadi tumpuan para penyokong skuad The Rhinos selepas kontraknya bersama pasukan itu difahamkan bakal berakhir pada 30 November 2022.

Sebelum ini, masa depan pemain berusia 23 tahun itu turut dibahas apabila Saddil dikhabarkan ada menerima tawaran daripada salah sebuah kelab yang berpangkalan di Eropah.

Menurut sumber daripada salah sebuah portal Indonesia, Saddil mendapat tawaran daripada sebuah kelab di Liga Belarusia iaitu Dinamo Minsk.

Berdasarkan satu kenyataan yang dikeluarkan oleh ejennya, Saddil dikatakan sudahpun menerima tawaran tersebut, akan tetapi masih perlu menunggu sehingga kontrak beliau bersama Sabah FC ditamatkan.

Tindakan Sabah FC yang sehingga kini masih berdiam diri mengenai status pemain itu membangkitkan kemarahan penyokong.

Bagi penyokong Sabah FC, Looker Jersey Sabah berpendapat pihak pengurusan seharusnya sudah membuat persediaan awal untuk menawarkan kontrak baharu kepada Saddil sebelum pemain itu membuat keputusan untuk berhijrah.

saddil 222

Saddil mendapat tawaran daripada sebuah kelab di Liga Belarusia iaitu Dinamo Minsk. — Facebook Sabah FC

“Kontrak Saddil dikhabarkan tamat pada hujung tahun ini.. Ramai yang kata Saddil harus menentukan masa depannya.. Inilah masalah kelab-kelab negara kita.

“Pemain terpaksa tunggu habis kontrak baru nak tawar kontrak baru.. Sepatutnya terus deal kontrak baru.. tidak perlu nak tunggu-tunggu. Kelab yang kena main peranan.. Bukannya pemain itu yang perlu minta puji minta tu kontrak,” tulisnya.

Tidak hanya berdiam diri seperti yang didakwa penyokong, ternyata pihak Sabah FC sudah bertindak awal untuk memujuk Saddil kekal bersama skuad Sang Badak.

Pengurus Sabah FC, Marzuki Nasir akhirnya tampil menjelaskan bahawa pihaknya sudah menawarkan kontrak baharu kepada Saddil.

saddil 2

Saddil mula sertai Sabah FC pada musim 2021. — Facebook Sabah FC

“Sabah FC sudah tawar kontrak baharu dengan Saddil tetapi dia masih memikirkan.

“Kontrak itu sudah ditawarkan pada Saddil pada sebulan yang lalu lagi. Kita perlu bagi Saddil masa untuk fikirkan masa depannya,” katanya kepada Majoriti.

Tambahnya, pemain cemerlang seperti Saddil memang sangat diperlukan oleh Sabah FC namun keputusan tetap di tangannya.

“Mungkin Saddil ada permintaan dia sendiri untuk masa depannya.

“Tapi walaupun isu kontrak ini masih belum ditentukan namun dia masih beri 100 peratus komitmen sewaktu latihan,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram