PRESTASI Sabah FC yang berada di kedudukan kedua Liga Super kelihatan selesa dengan hanya empat perlawanan berbaki yang wajib dimenangi dalam usaha melayakkan diri ke pentas Asia.
Pasukan yang berada di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee (OKS) sering menampilkan persembahan teratur dan sistematik sehingga membolehkan The Rhinos mempunyai rekod serangan dan pertahanan cemerlang.
Selain berjaya menjaringkan 30 gol liga, gawang mereka hanya dibolosi 19 kali selepas 18 perlawanan sekaligus menunjukkan kemampuan pasukan yang hanya berada di kedudukan kesembilan musim lalu.
Oleh itu, tidak salah untuk mengatakan bahawa pemain dan penyokong sudah meletakkan harapan tinggi bagi saingan liga musim depan, selain bercita-cita melihat pasukan itu beraksi di saingan Piala AFC.
Bagi mempersiapkan pasukan, peluang untuk mendapatkan wajah-wajah baharu ketika jendela perpindahan pasti tidak akan disia-siakan dengan menambah kualiti mereka secara keseluruhan.
Status kontrak dan perpindahan keluar pemain juga akan diberi tumpuan bagi membolehkan pihak pengurusan mencari pengganti yang bersesuaian serta dapat memacu The Rhinos ke tahap lebih tinggi.
Antara nama yang dikatakan bakal meninggalkan kelab Borneo itu ialah pemain kelahiran Indonesia, Saddil Ramdani yang berjaya menempatkan namanya dalam pasukan selain menambat hati penyokong.
Baru berusia 23 tahun, prestasi Saddil yang sering diturunkan sebagai pemain sayap kanan berjaya membantu Sabah FC setelah menyumbang lima bantuan gol selain tiga jaringan.
Jadi, tidak hairanlah sekiranya kelibat Saddil tidak lagi kelihatan di Stadium Likas musim depan apabila prestasinya berjaya menarik minat pasukan-pasukan lain.
Saddil Ramdani semakin disayangi penyokong Sabah FC. — Facebook/Sabah FC
Perkara tersebut pasti mendatangkan kerisauan dalam kalangan penyokong yang tidak mahu kehilangan khidmat bekas pemain Sri Pahang FC itu selepas hampir dua tahun menabur bakti.
Namun, seorang pemain Indonesia dikatakan sebagai calon yang sesuai untuk menggantikan Saddil apabila dia mempunyai ciri-ciri dan kebolehan seiring pendekatan taktikal OKS.
Pemain PSM Makassar, Yakob Sayuri mula mendapat perhatian penonton bola sepak tanah air selepas dia berjaya menampilkan persembahan cemerlang dalam perlawanan separuh akhir zon ASEAN Piala AFC 2022.
Ketika bertemu KL City FC, pemain berusia 24 tahun itu berjaya mendapatkan satu gol meskipun pasukannya gagal memastikan kemaraan di pentas Asia.
Selain itu, prestasi Yakob di Liga 1 Indonesia tampak cemerlang apabila berjaya menjaringkan tiga gol serta melakukan bantuan gol bagi memastikan pasukan itu berada di tangga ketiga dalam carta.
Perkara itu semestinya diberi perhatian penuh penyokong yang pasti terbuka akan kehadiran Yakob melihat kepada sumbangan dan kecemerlangannya di atas padang.
Seorang penyokong, Pengkritik Kritis berkata, pemain Indonesia itu merupakan calon yang paling sesuai untuk menggantikan Saddil bagi saingan liga musim depan.
"Jika lepaskan Saddil, Sabah FC ada calon terbaik untuk menggantikannya iaitu pemain Indonesia dari kelab PSM Makassar, Yakob Sayuri.
"Bagi sesiapa yang pernah menonton perlawanan antara pasukan Indonesia itu dengan Kedah Darul Aman FC dan KL City FC, mereka pasti akan tertarik dengan kelincahan dan sepakan deras pemain ini," katanya.
Hal itu turut disokong seorang lagi peminat bola sepak tanah air, Erfan Shah yang menyaksikan kebolehan Yakob ketika bertemu The City Boys cukup sesuai dengan rentak permainan Sabah FC.
"Bagus gaya dan rentak permainan Yakob ni, saya ada lihat semasa PSM Makassar bertemu KL City FC sebelum ini," katanya.
Epai Madu pula berkata, barisan pengurusan The Rhinos perlu bertindak pantas untuk memastikan khidmat pemain berjersi no. 22 itu dapat disaksikan penyokong Sabah FC.
"Saya harap pihak pengurusan dan kejurulatihan Sabah FC dapat mengambil pemain berkualiti ini pada musim depan untuk memperkuatkan lagi pasukan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram