Bergson, Arif Aiman julang Harimau Selatan, Sang Penyu terus menangis


  • Podium
  • Sabtu, 10 Sep 2022

Bergson (kanan) muncul wira JDT apabila meledak dua gol, selain satu gol jaringan Arif Aiman untuk menjulang Piala FA dengan kemenangan bergaya 3-1 ke atas TFC di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. — Facebook/Johor Southern Tigers

KEMENANGAN mutlak akhirnya berpihak kepada Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala FA 2022 apabila berjaya menewaskan Terengganu FC (TFC) dengan skor 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu malam.

Keputusan pengendali JDT, Hector Bidoglio untuk menurunkan Arif Aiman Hanafi jelas membuahkan hasil apabila rembatan derasnya memecahkan kebuntuan pada minit ke-33.

305131395_2383406845155934_2421628701911665813_n

Kehadiran Arif Aiman (kanan) jelas mengkucar-kacirkan pertahanan TFC. — Johor Southern Tigers

Bersambung babak kedua pula, Harimau Selatan terus mengasak gawang gol TFC dengan percubaan demi percubaan yang dilakukan jentera serangan JDT.

Semangat itu jelas membuahkan hasil apabila bola lambung mengelirukan daripada luar kotak penalti memaksa penjaga gol Sang Penyu, Rahadiazli Rahalim menjatuhkan Bergson da Silva dalam kotak penalti.

Penalti itu tenang dijaringkan penyerang kelahiran Brazil itu sekali gus mendapatkan kelebihan dua gol kepada pasukan kendalian Hector Bidoglio.

TFC cuba bangkit merapatkan kedudukan menerusi jaringan Tchetche pada minit ke-75, namun kemampuan dan kesungguhan JDT sukar untuk dipatahkan.

Bagi Sang Penyu pula, penantian mereka untuk menjulang trofi berterusan apabila terpaksa akur dengan kemampuan dan kebolehan JDT yang tampil dengan lebih menyerlah.

Kegagalan Rahadiazli untuk mengeluarkan bola daripada kawasan berbahaya sekali lagi dimanfaatkan Bergson yang mendapatkan gol keduanya pada penghujung permainan.

Dalam masa sama, pemain sayap Terengganu FC, Faisal Halim seakan-akan kurang menyinar dalam permainan itu apabila dia sukar untuk menerima hantaran daripada rakan sepasukan.

Selain itu, kemampuan benteng pertahanan, terutama Matthew Davies untuk menutup ruang menjejaskan peluang pemain kebangsaan itu untuk membuat hantaran licik mahupun menggelecek bola ke dalam kotak penalti.

Meskipun berjaya menjaringkan gol, sumbangan Tchetche Kipre dalam perlawanan itu turut terhad apabila kekentalan gabungan Shahrul Saad dan Shane Lowry menyukarkan lariannya sekali gus menyebabkan Sang Penyu terus menangis di Bukit Jalil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram