REKOD di atas kertas memang menunjukkan Johor Darul Takzim (JDT) terus diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk muncul juara Piala FA pada final yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu malam.
Prestasi konsisten dipamerkan Harimau Selatan menjadi antara faktor utama skuad di bawah kendalian Hector Bidoglio menjadi pilihan dan menyaksikan tidak ramai yang berani menyifatkan Terengganu FC (TFC) sebagai calon juara.
Bagaimanapun, menjadi pilihan kedua sebelum sepak mula tidak bermakna skuad Penyu tidak berpeluang mencipta kejuaraan kerana perkara itu sudah dibuktikan sendiri oleh Kuala Lumpur (KL) City sewaktu melakar kejutan besar ke atas JDT di pentas final Piala Malaysia, musim lalu.
Faisal Halim (kiri) merupakan pemain yang dianggap sebagai ancaman lawan. — Facebook TFC
Tidak hairanlah, ada peminat yang mencadangkan supaya skuad di bawah Nafuzi Zain itu mengambil aura atau semangat skuad Warga Kota yang berjaya tumpaskan JDT pada kejohanan pentas akhir Piala Malaysia dan terbaharu, layak ke final antara zon Piala AFC musim ini.
“Boleh juga. KL City sebelum ini tak ada sesiapa pun dianggap pasukan lawan yang hebat. Nak tahu TFC hebat ke tidak, kita lawan dulu. Begitu,” tulis Jepp AJ.
“Betul, KL City ini awal-awal ramai penyokong tak sangka boleh menang lawan JDT dulu. Sekarang ini dah sampai final Piala AFC dah pun. Memang patut dijadikan contoh,” tulis Rawilson.
KL City sebelum ini disifatkan sebagai pasukan ‘underdog’ namun perkara itu disangkal selepas berjaya menumbangkan kelab India, ATK Mohun Bagan 3-1 dalam aksi separuh akhir Interzonal Piala AFC.
KL City menumbangkan ATK Mohun Bagan 3-1 dalam aksi separuh akhir Interzonal Piala AFC. — Facebook TFC
Untuk rekod, TFC sebelum ini pernah menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2001, juara Piala Sumbangsih 2001, dan juara Piala FA Malaysia sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2000 dan 2011.
Manakala JDT pula menjulang Piala Liga Super sebanyak tujuh kali, juara Piala Malaysia pada tahun 2017 dan 2019 serta juara Piala FA Malaysia sewaktu 2016. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram