BERBAKI lagi sejam sebelum sepak mula perlawanan akhir Piala FA antara pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) bermula, pemilik skuad Harimau Selatan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bermurah hati untuk memberi penutup padang.
Penutup padang itu merupakan bantuan dari Tunku Ismail berikutan ketakutan penyokong terhadap permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sekiranya berlaku hujan lebat.
Halaman penyokong JDT, JDTFC dalam satu hantarannya menulis ucapan terima kasih terhadap TMJ kerana keprihatinannya terhadap kejohanan berkenaan.
“Menjunjung kasih Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan JDT di atas kerjasama terbaik ini untuk bantuan menyediakan penutup padang di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
“Idea yang diterjemahkan untuk memastikan perlawanan akhir Piala FA malam ini berjalan lancar dan terbaik untuk tontotan penyokong kedua-dua pasukan. Luaskan Kuasamu Johor!,” tulisnya.
Pemberian penutup padang dari TMJ. — Facebook Harimau Selatan
Pada masa sama Tunku Ismail menerusi Twitternya pada Sabtu bertitah, penutup padang berkenaan merupakan kepunyaan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru, Johor.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan kebimbangan tu diluahkan oleh penyokong JDT di laman Facebook berikutan kekerapan hujan lebat yang sering melanda ibu kota sejak kebelakangan ini.
Perkara itu turut disokong oleh laporan Jabatan Meteorologi Malaysia yang meramalkan Kuala Lumpur bakal dilanda hujan pada waktu petang dan malam terutama pada hari minggu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram