PERLAWANAN akhir Piala FA antara pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu yang dijadualkan pada Sabtu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dikhuatiri akan berlangsung dalam keadaan hujan lebat.
Kebimbangan tu diluahkan oleh penyokong JDT di laman Facebook berikutan kekerapan hujan lebat yang sering melanda ibu kota sejak kebelakangan ini.
Perkara itu turut disokong oleh laporan Jabatan Kajian Cuaca yang meramalkan Kuala Lumpur bakal dilanda hujan pada waktu petang dan malam terutama pada hari minggu.
“Jika kita melihat pada trend cuaca sekitar Lembah Klang sehari dua ini, esok malam (Sabtu) akhir Piala FA di antara JDT menentang Terengganu yang berlangsung di SNBJ dijangka akan berlangsung dalam keadaan hujan.
“Semoga kualiti padang tidak kembali menjadi isu yang hangat diperkatakan seperti perlawanan besar sebelum ini melibatkan pasukan negara menentang Bahrain pada kempen kelayakan Piala Asia,” luah penyokong JDT di laman rasmi JDTFC di Facebook.
Tangkap layar luahan kebimbangan penyokong terhadap tahap kualiti padang SBNJ apabila dilanda hujan lebat.
Pada masa sama, beberapa warganet lain turut meluahkan pandangan masing-masing tentang corak perlawanan yang pastinya terkesan dalam keadaan hujan nanti.
“Jika hujan permainan tidak begitu rancak pemain selalu jatuh dan bola lambat bergerak. Fokus akan terganggu bagi penjaga gol dan tempias hujan lebat turut mengganggu penonton.
“Kalau beli tiket dari ulat sampai RM300 tidak berbaloi tengok perlawanan dalam bendang. Tak kiralah siapa menang atau kalah, permainan menarik bola tidak tersangkut-sangkut.
“Kalau begini keadaan memang tempat penyu berenang,” luah warganet.
Keadaan padang SNBJ yang memalukan.
Sebelum ini, kualiti padang SNBJ pernah dipersoalkan apabila sistem pengairan tidak berfungsi dengan baik sewaktu kelayakan Piala Asia 2023 menentang Bahrain pada Jun lalu.
Ia diburukkan lagi dengan tahap kesiapsiagaan pihak pengurusan stadium untuk menyelesaikan masalah takungan air sehingga terpaksa menggunakan penyodok.
Dalam perkembangan lain Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan cuti peristiwa bagi negeri Terengganu pada Ahad.
“Bagi memberikan keselesaan perjalanan pulang dan memastikan penyokong Terengganu tidak terburu-buru di atas jalan raya juga, Kerajaan Negeri telah bersetuju mengisytiharkan 11 September 2022 iaitu hari Ahad sebagai cuti peristiwa bagi Negeri Terengganu.
“Susun dan atur masa perjalanan pulang dengan baik tanpa perlu tergesa-gesa kerana ruang masa yang ada masih panjang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook Terengganu FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram