JIKA diturunkan pada pentas perlawanan akhir Piala FA pada Sabtu malam, penjaga gol Johor Darul Takzim (JDT), Farizal Marlias, mengharapkan satu kenangan manis mampu diukir kerana bakal menjadi penampilan final pertamanya di Piala FA.
Sebelum ini, Farizal hanya memerhatikan dari bangku simpanan ketika rakan sepasukan, Izham Tarmizi membantu JDT menjulang kejuaraan pertama pada 2016 menewaskan PKNS FC 2-1.
Justeru, dia berjanji akan berikan segala-galanya dalam membendung asakan Terengganu FC yang diakui boleh memberikan banyak ancaman kepada benteng JDT.
“Saya sudah lama bersama dengan JDT cuma final sebelum ini saya tidak bermain dan jika diturunkan, ini akan menjadi final pertama di Piala FA.
“Saya akan cuba sehabis baik bagi membawa pulang trofi Piala FA ke Johor tetapi berdepan Terengganu, bukan mudah kerana mereka sebuah pasukan yang konsisten.
Pertembungan dua pemain yang dinanti-nantikan. — Facebook/Terengganu FC
“Mereka punyai kemampuan untuk memegang bola serta menjana serangan-serangan yang efektif dan ada kepantasan tersendiri.
“Jadi, kami tidak boleh berikan banyak peluang kepada mereka untuk menjaringkan gol untuk aksi final nanti,” katanya seperti dilaporkan MFL.
Dalam pada itu, penyerang Terengganu FC, Tchetche Kipre pula mengakui bukan mudah untuk menembusi pertahanan JDT selain menyifatkan peluang adalah 50-50 apabila bermain di pentas final.
Sebagai penyerang, dia tidak melihat barisan pemain JDT secara individu sebagai ancaman besar, sebaliknya tetap berwaspada terhadap kesemua pemain dalam usaha untuk menembusi pertahanan.
“Saya boleh cakap mereka memang mempunyai pertahanan yang begitu bagus jadi bukan senang untuk menembusi dan tidak bolos banyak gol.
“Melihat mereka beraksi dengan pengalaman pemain yang ada, saya rasa peluang adalah 50-50 dan saya rasa kami pun ada peluang.
“Paling penting bila main final, kita kena lebih tajam, apabila dapat peluang harus lakukan dengan baik dan di final biasanya tidak banyak peluang dalam permainan,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram