Tiga tonggak B15 Sang Kenari bakal terbang lebih tinggi


  • Podium
  • Khamis, 08 Sep 2022

Pasukan Kedah B-15 berjaya muncul sebagai juara dalam saingan MSSM 2022. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

MAJLIS Sukan-sukan Malaysia (MSSM) bukan sahaja dapat menjadi medan untuk para pelajar kekal sihat, malah ia dapat membantu melahirkan seorang atlet menerusi bakat yang ditonjolkan.

Perkara ini pastinya memberi peluang kepada para pelajar yang tidak berkemampuan untuk menyertai akademi sukan dalam mengasah bakat terpendam yang boleh disumbangkan kepada negara pada masa depan.

Antara sukan yang sering menjadi perhatian dalam penganjuran tahunan itu ialah bola sepak yang dipertandingkan di antara sekolah-sekolah yang layak daripada peringkat daerah lagi.

Tahun ini, pasukan bola sepak Bawah 15 MSSM Kedah berjaya membawa pulang trofi tersebut selepas berjaya menewaskan pasukan Kelantan dengan satu jaringan pada aksi final.

Kejayaan itu memberikan kegembiraan kepada ibu bapa dan para penyokong setelah kali terakhir berjaya muncul sebagai juara dalam kategori itu pada 2008.

Kebanggaan ini juga pasti dirasakan ketua jurulatih pasukan itu, Muhammad Faizal Rijaluddin yang melihat potensi anak-anak buahnya boleh dilanjutkan sehingga ke tahap yang lebih tinggi.

305492899_5446372418743902_8291467991330126363_n

Faizal Rijaluddin membantu pasukan B-15 menjulang trofi itu. Facebook/Mohd Faizal Jan

"Setiap pemain itu ada potensi dan peluang yang cerah jika diberi peluang dalam mencapai tingkat yang lebih tinggi," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, pemain yang menyertai skuad dipilih menerusi kemampuan yang ditonjolkan ketika fasa pemilihan dengan mengambil kira posisi dan kemampuan yang dimiliki.

"Untuk pertandingan kali ini, kita ada beberapa fasa untuk memilih dan melatih para pemain dalam pasukan tersebut,"

"Sesi latihan ini kita juga buat secara berfasa dan saya akan memastikan mereka dapat berlatih bersama-sama apabila pertandingan semakin hampir," katanya.

Tambah Faizal, dia juga melihat beberapa individu yang dianggap tulang belakang dalam pasukan tersebut sehingga membolehkan mereka mencatat sejarah tersendiri.

305829810_500513251910030_3546640175204209774_n

Muhammad Imtiyaz Syafi Ghazali dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir. Facebook/Kedah Darul Aman FC

"Saya lihat, Muhammad Irfan Aswad yang merupakan kapten dan juga menjadi pertahanan pasukan. Selain itu, saya juga tertarik dengan Fitri Haikal yang menjadi pemain tengah juga ada kemampuan tersendiri.

"Saya juga bangga dengan keupayaan penjaga gol, Muhammad Imtiyaz Syafi Ghazali yang memastikan pasukan ini terus berjaya dalam pertandingan ini," katanya.

Perlawanan akhir ini juga mengangkat penjaga gawang Kedah B-15 sebagai pemain terbaik bagi pasukan tersebut di atas kecemerlangannya memastikan gawang mereka tidak dibolosi. — Majoriti