Lokman Hakim: Pembantu kedai di Jerantut bintang baharu dalam pembikinan?


  • Podium
  • Selasa, 06 Sep 2022

Kecemerlangan Lokman berjaya membantu pasukannya mara sehingga ke peringkat separuh akhir. — Facebook/FC Jerantut

PIALA Sultan Pahang (PSP) 2022 akhirnya melabuhkan tirai apabila pasukan Pasir Pekan FC berjaya menumpaskan Semantan Troopers FC dengan jaringan 2-1 pada Ahad lalu di Stadium Darul Makmur.

Kejohanan tahunan itu dianjurkan bagi memberi peluang kepada pasukan amatur sekitar Pahang untuk menyerlahkan keupayaan tersendiri selain memberi peluang kepada bakat baharu menyinar.

Peluang ini semestinya digunakan pemain-pemain muda yang berminat untuk menceburkan diri dalam sukan ini namun tidak berkesempatan berikutan kesukaran untuk mendapatkan tempat bersama pasukan lebih besar.

Antaranya, pemain FC Jerantut, Lokman Hakim yang menggunakan kejuaraan ini bagi membantu menyerlahkan bakatnya sehingga berjaya memenangi Anugerah Pemain Berpotensi PSP.

Pemain muda ini menunjukkan kebolehan dan ketangkasan tersendiri selepas menjaringkan dua gol daripada tiga perlawanan termasuk satu jaringan ketika berada di peringkat separuh akhir menentang juara, Pasir Pekan FC.

Bakatnya itu pasti menarik perhatian pasukan yang lebih besar untuk mendapatkan khidmatnya berdasarkan kemampuan dan usianya yang masih muda selain dapat membantu menaikkan lagi bakat tempatan.

Namun, bagi pengurus FC Jerantut, Safiuddin Shaifuddin, minat yang ditunjukkan setakat ini adalah cuma daripada beberapa kelab amatur yang bersaing dalam liga sosial selain masih belum menerima tawaran daripada pasukan yang lebih besar.

302298436_177813101411600_4948319177925090260_n

Lokman mempunyai masa depan yang cerah. Facebook/FC Jerantut

"Setakat ini, masih belum ada tawaran. Cuma ada beberapa kelab yang berada di liga sosial dan liga daerah yang bertanya mengenai Lokman menerusi Facebook tetapi kelab yang lebih besar ini, kita masih belum ada," katanya kepada Majoriti.

Katanya, baru berusia 21 tahun, Lokman sememangnya pemain dengan bakat dan masa depan cerah sejak berada di bangku sekolah sebelum dibawa masuk ke dalam pasukan amatur ini.

"Ketua jurulatih kami, Muhammad Iqbal Yahya merupakan cikgu yang telah membawa Lokman sejak kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) lagi.

"Jadi, ketika berada di sekolah lagi, dia telah berjaya tunjukkan bakatnya apabila muncul sebagai penjaring terbanyak dalam MSSD dengan sembilan gol, itulah satu pencapaian dia," katanya.

Sejak itu, Safiuddin berkata, Lokman tidak lagi menoleh dan terus mengasah bakat bersama pasukan-pasukan di sekitar Lembah Klang dalam liga sosial selain menyertai proses pemilihan bersama skuad Piala Belia KL.

Pemain ini juga mempunyai pencapaian bersama Jerantut Warriors apabila pasukan itu berjaya muncul sebagai juara dalam divisyen ketiga Klang Valley League.

FC Jerantut sebelum ini ditubuhkan pada 2021 oleh sekumpulan pemuda dan remaja yang tekad dalam membawa bakat kelahiran Jerantut dengan memastikan tiada campur tangan birokrasi.

301139061_177233098136267_5606742711471576896_n

FC Jerantut ditubuhkan bagi memberi peluang kepada anak jati Jerantut dalam arena bola sepak. Facebook/FC Jerantut

Ketiadaan liga amatur di Pahang telah memaksa mereka untuk menyertai Liga Subang Football League di Shah Alam, Selangor meskipun memahami kesukaran untuk beraksi berikutan kos pengangkutan.

Penyertaan mereka dalam penganjuran pertama PSP juga membolehkan pasukan itu berusaha mendapatkan dana tambahan menerusi penjualan jersi dan kemaraan dalam kejuaraan itu.

Sementara itu, bagi Lokman pula, minat dan penglibatannya dalam sukan ragbi tujuh sebelah membantu meningkatkan lagi potensinya untuk terus berkembang sebagai pemain bola sepak dari segi fizikal dan mental.

"Bila saya sertai ragbi, ia membantu dari segi kecergasan dan kekuatan badan serta ia menjadikan saya tidak takut dan gentar untuk menghadapi sesiapa sahaja yang saya berdepan.

"Tidak kiralah mereka lebih bagus atau dalam tahap yang lebih tinggi sekalipun, saya akan lawan. Kerana bagi saya, sesiapa yang bekerja keras, mereka akan meraih hasil itu," katanya.

Tambah Lokman, kesibukan harinya tidak memberi kesan apabila dia mempunyai jadual tersendiri dalam memastikannya kekal aktif meskipun bekerja sambilan sebagai seorang pembantu gerai.

"Setiap hari, sebelum saya pergi kerja pada pukul 8.30 pagi, saya akan bersenam sedikit selepas bangun dan melakukan sedikit latihan hantaran bola.

"Selepas itu, setiap petang pula, saya akan beritahu kepada penjaga gerai untuk memberikan kebenaran agar saya boleh pulang seawal jam 5 petang untuk membuat latihan sendiri ataupun joging bagi mengekalkan tahap kecergasan saya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram