Kecoh akademi JDT main MSSM, rosak sistem akar umbi


  • Podium
  • Rabu, 07 Sep 2022

B-17 menang 3-1 ke atas MSS Selangor menerusi pusingan penalti. — Facebook JDT

KEJOHAHAN sukan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2022 yang dijadualkan bermula 4 sehingga 8 September nampaknya turut menjadi tumpuan orang ramai terutamanya dalam acara bola sepak.

Acara bola sepak yang memilih Kedah sebagai tuan rumah itu akan mempertaruhkan bakat-bakat muda dari pelbagai peringkat umur iaitu kategori Bawah 12 Tahun (B12), B15, dan B18.

Namun, di sebalik keriuhan mencari prospek baharu negara dalam arena bola sepak, kecoh dalam kalangan penyokong sukan nombor satu Malaysia itu mengenai penyertaan Akademi Johor Darul Takzim (JDT) di kejohanan MSSM.

Sebelum ini, portal Harimau Malaya melaporkan bahawa pemain-pemain yang dibawa menyertai MSSM adalah pemain akademi JDT yang tidak melalui pertandingan peringkat daerah dan negeri sehingga bakat sedia ada terpaksa disisihkan.

Isu tersebut menjadi topik yang dibincangkan dalam kalangan peminat sukan kerana semua maklum bahawa MSSM adalah platform kepada pelajar sekolah di Malaysia untuk menunjukkan kebolehan mereka.

JDT A

Antara aksi pemain Akademi JDT pada kejohanan MSSM 2022. — Facebook JDT

Tidak terlepas memberikan pendapat, seorang peminat bola sepak, Mohd Shadam Roslee menyuarakan bahawa penyertaan Akademi JDT ke acara berkenaan hanya merosakkan sistem akar umbi negara.

"Sebab itu semua akademi di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Sekolah Sukan Negeri (SSN), akademi kelab tidak boleh terlibat dalam kejohanan MSSD, MSSN dan MSSM.

"Akademi sudah ada platform mereka sendiri, main liga luar dan dalam negara. Kalau platform MSSM pun nak kacau, rosak lah sistem akar umbi.

"Di mana lagi budak-budak yang biasa atau wakil sekolah nak tunjukkan bakat.? Di platform MSSM inilah..Punca dia bukan untuk cari bakat tapi lebih kepada nak cari nama..Sebab itu pengurusan MSSM negeri cari budak akademi..Tak begitu.?

"Semua scout akademi boleh datang untuk pilih bawa masuk ke akademi...Bukan budak akademi untuk di scout. Benda pun dah menang, jadi jangan bangga sangat..Kalau kalah, lagi malu," tulisnya.

JDT B

Pemain B-17 dari Akademi JDT dinobatkan juara di kejohanan MSSM 2022. — Facebook JDT

Namun bagi sesetengah peminat bola sepak, penglibatan Akademi JDT pada kejohanan MSSM sebenarnya boleh memberi persaingan yang lebih kompetitif kepada pasukan negeri lain dan melahirkan lebih banyak pemain seperti Arif Aiman.

Akademi JDT kini memenangi semua acara bola sepak dengan ketiga-ketiga skuadnya mendapat tempat yang mana pasukan B12 bergelar juara selepas menewaskan pasukan MSS Perlis 2-1, manakala B18 juga merangkul gelaran sama apabila menang 3-1 ke atas MSS Selangor menerusi pusingan penalti dan B15 menduduki tempat ketiga apabila menundukkan MSS Pahang dengan keputusan 5-0. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram