Lima atlet kelahiran Penang terima insentif RM23,500


  • Primer
  • Khamis, 01 Sep 2022

Kon Yeow (dua kanan) menyampaikan insentif kepada atlet kelahiran Pulau Pinang (dari kiri) Peng Soon, Azlina, Amir Daniel, Yee See dan Jin Wei.

LIMA atlet kelahiran Pulau Pinang berjaya membanggakan negara pada Sukan Komanwel di Birmingham, United Kingdom baru-baru ini dengan membawa pulang pingat emas, perak dan gangsa menerusi pelbagai sukan.

Sebagai tanda pengiktirafan, kerajaan negeri Pulau Pinang menganugerahkan mereka insentif berjumlah RM23,500 di bawah Skim Insentif Majlis Sukan Pulau Pinang (Skimas).

Chan Peng Soon, Cheah Yee See dan Goh Jin Wei, yang memenangi pingat emas dalam acara badminton berpasukan campuran, masing-masing menerima RM4,500.

Azlina Arshad yang memenangi pingat perak dalam kategori boling padang wanita pula menerima RM4,000.

Sementara itu, Amir Daniel Abdul Majeed menerima RM6,000 kerana menggondol pingat gangsa dalam kategori 73 kilogram judo lelaki.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, insentif khas itu adalah untuk meraikan pencapaian atlet kelahiran Pulau Pinang di platform antarabangsa.

“Pencapaian ini secara tidak langsung menunjukkan inisiatif kerajaan negeri dalam melaksanakan program sukan di peringkat akar umbi telah berjaya mencungkil bakat baharu Pulau Pinang.

“Kami amat berbangga dengan Amir Daniel kerana dia mencipta sejarah apabila muncul sebagai atlet pertama negara memenangi pingat dalam sukan judo di Sukan Komanwel,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Komtar, George Town, Pulau Pinang pada Khamis.

Kon Yeow berkata, selain memupuk bakat baharu, kerajaan negeri menghasilkan pelbagai inisiatif lain untuk memajukan lagi industri sukan.

“Kami memperuntukkan RM1.6 juta tahun ini untuk membina, menaik taraf dan membaiki kemudahan sukan.

“Antaranya ialah lima gelanggang sepak takraw, dua trek joging, dua gelanggang futsal, empat gelanggang bola keranjang, gelanggang bola tampar, dua padang awam dan gelanggang sepak raga tuju.

“Selain itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM8.8 juta untuk membina Arena Nibong Tebal, yang akan memiliki sembilan gelanggang badminton.

“Ia dijangka siap pada suku pertama 2023,” tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram