'Macam striker baka Afrika' — FAM jangan terlepas pandang prospek cerah Orang Asli Kelantan


  • Podium
  • Rabu, 07 Sep 2022

Sa'ap (tengah) merupakan pemain Orang Asli yang berasal dari Kampung Aring 5, Gua Musang, Kelantan. — Facebook

KEJOHANAN Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2022 bagi acara bola sepak akhirnya melabuhkan tirainya selepas Kontinjen Johor muncul juara.

Kontinjen selatan tanah air itu menguasai pelbagai peringkat kategori apabila pasukan B12 MSS Johor bergelar juara selepas menewaskan pasukan MSS Perlis 2-1, manakala B18 MSS Johor juga merangkul gelaran sama apabila menang 3-1 ke atas MSS Selangor menerusi penentuan sepakan penalti.

Skuad B15 MSS Johor pula terpaksa berpuas hati di tempat ketiga apabila menundukkan MSS Pahang dalam penentuan tempat ketiga dan keempat.

Bagaimanapun, kontinjen bola sepak Johor terpalit dengan kontroversi apabila dikatakan MSSM negeri tersebut bertindak untuk merekrut pemain-pemain dari Akademi Johor Darul Takzim (JDT).

Di sebalik kontroversi itu, kejohanan MSSM kali ini menarik perhatian orang ramai apabila majoriti pemain muda yang mewakili negeri masing-masing mempamerkan bakat tersendiri.

Contohnya pemain cilik, Sa'ap Baharon yang mewakili pasukan B-12 MSS Kelantan dikatakan bakal menjadi prospek baharu negeri itu selepas dia memberikan aksi cemerlang sepanjang kejohanan berkenaan.

Meninjau ruangan komen di media sosial, ramai yang menyifatkan Sa'ap berpotensi cerah menyarung jersi kebangsaan, selain kepantasan dan tubuh badannya yang tegap juga disamakan seolah-olah seperti kualiti penyerang dari benua Afrika.

Sa'ap sewaktu menjalani latihan bersama pasukannya.

Pengurus B-12 MSS Kelantan, Mohd Zamrul Azhan Seman berkata, Sa'ap merupakan pemain Orang Asli yang berasal dari Kampung Aring 5, Gua Musang, Kelantan selain memakai lilitan kapten bagi pasukan itu.

Bakat pemain berusia 11 tahun berkenaan mula dikesan sejak berumur sembilan tahun yang mana pada ketika itu Sa'ap mewakili sekolahnya iaitu Sekolah Kebangsaan Pasir Linggi bagi peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD).

"Sa'ap adalah satu-satunya Orang Asli yang pernah menjadi kapten untuk pemain B-12 pasukan Kelantan.

"Bakatnya itu dicungkil sewaktu dia Darjah Lima ketika dia mewakili sekolahnya bagi perlawanan MSSD. Cikgu sekolahnya telefon saya pasal kehebatan Sa'ap," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2022-09-07 at 1.19.12 PM

Antara aksi Sa'ap (kiri) sewaktu kejohanan MSSM baru-baru ini. — Facebook

Menurut pengurus berkenaan, pada awalnya pihak MSS Kelantan berasa ragu-ragu untuk mengambil pemain itu namun selepas melihat sikap Sa'ap yang mudah menyesuaikan akhirnya dia dipilih untuk mewakili Kelantan.

Pemain itu dikatakan seorang yang pendiam dan murah dengan senyuman meskipun ada yang menegurnya di atas padang.

Kekuatan Sa'ap

Bagi Mohd Zamrul, pemain yang mesra dengan panggilan Sa itu adalah sangat sesuai untuk mengetuai jentera serangan kerana kelebihan yang ada pada dirinya dari aspek kelajuan, kekuatan, larian dan sepakan.

Malah, bukan sahaja mampu menjadi penyerang yang laju, Sa'ap juga dikatakan berkebolehan untuk mengisi pelbagai posisi seperti pemain pertahanan, tengah ataupun penjaga gawang pasukan.

"Kekuatan Saap adalah dari segi attacking. Dia ni seorang yang pendiam. dia ni kalau kat padang memang senyum saja. Kena sound oleh sesiapa pun memang senyum. Kurang bercakap dengan kawan-kawan.

WhatsApp Image 2022-09-07 at 1.21.23 PM

Sa'ap (tengah) bersama rakan sepasukannya.

"Dia ada kekuatan, kelajuan. Kaki kiri kanan hidup. Dua-dua boleh pakai. Kami letak dia di bahagian serangan sebab kami nak pakai dia punya kekuatan, larian, kelajuan, kick dan skil.

"Sa antara pemain yang patuh juga kerana apa-apa yang kami nak dia akan turuti. Memang dia tak argue. Beri apa posisi sekali pun, dia boleh main. Main keeper pun dia boleh main," jelasnya.

Mohd Zamrul berkata, meskipun MSSM 2022 adalah pengalaman pertama Sa'ap bermain di peringkat lebih tinggi namun prestasi yang diberikan olehnya melebihi para pemain MSSM lain.

"Tiada lagi scout agensi panggil dia. Lagi pun ini pertama kali dia bermain pada peringkat MSSM. Kalau tengok pretasi dia di MSSM memang level tinggi jika dibanding dengan pemain MSSM lain," jelas Mohd Zamrul.

Bukan sahaja menyertai acara bola sepak, Sa'ap juga dilaporkan mewakili MSS Kelantan dalam acara olahraga.

Namun hajat untuk melihat Sa'ap dan rakan-rakan sepasukannya mara lebih jauh pada kejohanan MSSM 2022 terpaksa dilupakan selepas MSS Kelantan tersungkur 0-1 di tangan MSS Perlis pada peringkat suku akhir B-12. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram