'Pengurusan tidur ke?', bocor insiden pemain muda TFC dirisik, penyokong mula bersuara


  • Podium
  • Sabtu, 03 Sep 2022

Khabar angin mengatakan tiga pemain TFC IV mula dirisik pihak pengurusan JDT. — Terengganu FC IV

BAKAT baharu merupakan satu peluang kepada setiap pasukan dalam memastikan masa depan mereka cerah meskipun kebolehan ubi muda ini masih belum menyerlah secara total.

Pembentukan pasukan simpanan yang ketika ini bersaing dalam beberapa perlawanan seperti Liga Perdana dan Piala Presiden adalah batu loncatan bagi pemain-pemain muda bagi menggali sebanyak mungkin pengalaman dan minit permainan.

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya kemampuan dan potensi pemain-pemain muda ini berjaya dihidu barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan lawan apabila mereka berjaya menonjolkan bakat tersendiri.

Kehadiran pemain-pemain muda juga dilihat sebagai satu tarikan kepada penyokong dengan aksi bertenaga dan bersemangat di padang yang tentu sekali berbeza berbanding pemain senior.

Persembahan yang ditonjolkan pemain muda, seperti Arif Aiman Hanapi (Johor Darul Takzim) dan Fayadh Zulkifli (Kedah Darul Aman FC) sering dinantikan penyokong setelah kemampuan mereka jarang menghampakan dalam setiap penampilan.

Namun, seperti kelaziman, kemampuan yang dipamerkan pelapis ini pasti mendapat perhatia pasukan lain, lebih-lebih lagi sekiranya aset yang dimiliki mereka mampu dimanfaatkan.

Jadi, dalam mengelakkan pemain muda ini menyertai kelab-kelab lain, langkah yang sering diambil pihak pengurusan adalah untuk memastikan kontrak di antara kedua-dua pihak ini dilangsungkan dalam tempoh yang panjang.

296378714_507970137797104_2063270649054998488_n

Terengganu FC IV berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala Belia 2022. Facebook/Terengganu FC IV

Baru-baru ini, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa tiga pemain dalam pasukan Terengganu FC IV (TFC IV) sedang dirisik pasukan gergasi, JDT selepas persembahan cemerlang dalam saingan Piala Belia 2022.

Meskipun hanya berjaya mara ke peringkat separuh akhir, persembahan secara individu yang ditampilkan pemain berpotensi ini menarik minat Harimau Selatan dalam mengukuhkan lagi skuad mereka pada masa hadapan.

Lantaran daripada itu, pihak pengurusan TFC IV telah mengeluarkan kenyataan bagi meredakan perasaan tidak puas hati dalam kalangan penyokong Sang Penyu.

Dalam satu hantaran di Facebook, pengurus pasukan TFC IV, Yahaya Mohd Noor berkata, pihaknya telah mengambil keputusan untuk menghasilkan satu laporan bagi mengelak bintang baharu ini tidak hilang daripada genggaman mereka.

"Ketua jurulatih telah berbincang bersama pengurusan pasukan dan dalam masa yang sama telah siap menyediakan laporan lebih awal lagi untuk diserahkan kepada pihak pengurusan atasan.

"Dalam laporan tersebut termasuklah isu pemain yang telah dicadangkan untuk dinaikkan ke pasukan TFC, TFC II dan TFC III dan untuk tandatangan kontrak bersama," katanya.

Jelasnya, pihak pengurusan juga tidak mengetahui bahawa terdapat satu pertemuan antara wakil kejurulatihan JDT dengan pemain serta penjaga dalam usaha memancing mereka ke Stadium Sultan Ibrahim.

Meskipun kenyataan itu dikeluarkan dalam menjernihkan isu tersebut, penyokong masih tidak berpuas hati dengan tindakan lewat yang dilakukan pihak pengurusan TFC IV untuk membendung kehilangan bintang-bintang muda itu.

Penyokong, Wan Sofian Sofian Osman berkata, barisan kejurulatihan perlu lebih peka akan tarikan dan kemampuan pemain-pemain muda bagi menghalang perkara sebegitu berlaku.

"Pengurusan perlu lebih bijak dan peka, mustahil sekiranya mereka tidak sedar akan nilai pemain yang berada dalam skuad.

"Apabila ada pihak lain yang cuba menawarkan kontrak, barulah mereka risau dengan kehilangan mereka ini," katanya.

Perkara ini turut disuarakan Are Peace Peace yang mahu kontrak bakat baharu ini perlu diberikan perhatian supaya tidak kesal di kemudian hari.

"Soal kontrak hendak tamat ini, pihak pengurusanlah yang sepatutnya bertindak segera dengan menawarkan kontrak baharu. Takkan hendak tunggu sehingga tamat baru hendak memperbaharui," katanya.

Bagi Ruzi Rahman, pujian perlu diberikan kepada pihak JDT yang melihat pendekatan yang dibuat bukanlah satu cara yang salah dalam menarik ketiga-tiga pemain itu.

"JDT menjalankan tugas mereka seperti 50 langkah ke hadapan. Bagi TFC pula, mereka seakan leka dan apabila perkara seperti ini berlaku, barulah mereka mahu bangkit daripada lamunan sendiri," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram