Hilang 2 tonggak, Nafuzi Zain mahu pemain rantai bintang Tok Gajah


  • Podium
  • Ahad, 21 Ogos 2022

Kunjungan ke Kuantan menjadi misi besar pemain untuk mengutip tiga mata, sekali gus mengelak daripada tergelincir ke tangga bawah liga. — Facebook TFC

MENJELANG perlawanan menentang Sri Pahang FC pada Ahad, Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain menegaskan bahawa kunjungan ke Kuantan, Pahang menjadi misi besar pemain untuk mengutip tiga mata, sekali gus mengelak daripada tergelincir ke tangga bawah liga.

Malah, Nafuzi juga mengingatkan para pemainnya supaya berwaspada dengan ancaman skuad Tok Gajah ketika berkunjung ke Stadium Darul Makmur bagi perlawanan Liga Super malam ini.

Ia berikutan prestasi cemerlang Tok Gajah kendalian Datuk Dollah Salleh, yang telah mencipta tiga kemenangan berturut-turut sebaik mengambil alih tampuk kejurulatihan daripada Christophe Gamel, Julai lalu.

299876636_1528554690908540_947023802991827733_n

TFC kini menduduki tangga keempat bagi saingan Liga Super 2022. — Facebook TFC

"Sememangnya Sri Pahang FC sedang berada di kedudukan yang baik kerana mempamer persembahan yang berbeza di atas padang berbanding sebelum ini.

"Sudah pasti ia tugas sukar buat pemain, tetapi kita perlu pulang dengan tiga mata dan teruskan momentum kemenangan untuk kekal di kedudukan keempat liga," katanya kepada pemberita.

Selain itu, Nafuzi turut meminta pemain supaya lebih berhati-hati dan mengawasi penyerang import, Steven Rodrigiuez yang sudah meledak enam gol dalam enam penampilannya bersama Sri Pahang.

Kata beliau, sebarang kesilapan kecil perlu dielak bagi memastikan skuad Penyu tidak dihukum dengan kelajuan dan ketajaman penyudah Rodriguez yang berasal dari Colombia.

"Untuk malam esok, Kpah Sherman mungkin tak dapat diturunkan kerana masih cedera, begitu juga Azarul Nazarith yang alami masalah sama.

"Azam Azmi juga tidak dapat bermain kerana digantung perlawanan. Tetapi Faiz Nasir, Petrus Shetembi dan Kipre Tchetche sudah kembali dengan pasukan," katanya yang sedang membuat persiapan rapi bagi perlawanan akhir Piala FA menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Bukit Jalil pada 10 September depan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram