Fandi Ahmad bakal jurulatih Pahang? Apa kata Dollah Salleh memang win


  • Podium
  • Rabu, 24 Ogos 2022

Kehadiran kedua-dua individu ini bagai memberi nafas baharu kepada skuad Tok Gajah — Facebook/Sri Pahang FC

KEBELAKANGAN ini, kuat khabar angin mengatakan bahawa penasihat teknikal Sri Pahang FC, Fandi Ahmad bakal dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan tersebut bagi musim hadapan.

Namun, meskipun perkara itu sedang hangat diperkatakan, pengendali sementara Sri Pahang FC, Dollah Salleh melihat perkara itu hanyalah satu khabar angin yang hanya berlegar di media sosial.

Ini kerana tiada sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak pentadbiran Sri Pahang FC dalam menjawab khabar angin tersebut.

"Saya tak tahu, tetapi sekiranya ini apa yang pihak pengurusan mahu, saya turuti sahaja," katanya ketika dihubungi Majoriti.

Pada Julai lalu, Fandi dilantik ke dalam barisan kejurulatihan skuad Sri Pahang FC selepas Dollah Salleh dinamakan sebagai ketua jurulatih interim skuad Tok Gajah.

299996164_5514674495259866_2880303336708577451_n

Kegembiraan jelas terserlah dalam barisan kejurulatihan Sri Pahang FC selepas berjaya memperbaiki prestasi pasukan itu Facebook/Sri Pahang FC

Bekas jurulatih Johor Darul Takzim (JDT) itu ketika ini sedang bergandingan bersama barisan kejurulatihan untuk mengemudi skuad itu dalam usaha melayakkan diri ke saingan Piala AFC 2023.

Ini berikutan keputusan pihak pengurusan memecat pengurus kelahiran Perancis, Christophe Gamel rentetan daripada keputusan perlawanan yang tidak memberangsangkan.

Mengulas lanjut, Dollah turut melihat kemasukan Fandi sebagai penasihat teknikal sedikit sebanyak membantu pasukan Sri Pahang FC.

"Macam biasa sahaja, kita sama-sama buat tugasan masing-masing. Saya tolong dia, dia tolong saya," jawabnya ringkas.

Sri Pahang FC kini berada di tangga kelima liga selepas mengumpul 21 mata daripada 17 perlawanan yang dihadapi, dengan 13 mata diperolehi ketika berada di bawah kendalian Dollah Salleh.

Skuad Tok Gajah selepas ini bakal berdepan KL City FC di Stadium Darul Makmur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram