'Kebenaran akan terbongkar,' siapa cuba padam sinar Nixon?


  • Podium
  • Isnin, 05 Sep 2022

Nixon Guylherme dikatakan dilanda kecederaan dan isu kecergasan sehingga menyebabkan dia tidak dapat diturunkan dengan lebih kerap.  — Facebook/TRW Kelantan FC

KEBANGKITAN Kelantan FC yang berjaya menyelesaikan isu kewangan dan prestasi di atas padang dilihat sebagai satu pencapaian apabila nama kelab itu cukup terkesan beberapa tahun lepas.

Kebijakan ketua jurulatih, Rezal Zambery Yahya untuk menggunakan setiap pemain dalam posisi tersendiri membolehkan anak-anak buahnya bagi bersaing bersama pasukan-pasukan lain dalam Liga Perdana.

Antaranya, kebolehan untuk meningkatkan keupayaan penyerang, Nurshamil Abd Ghani membolehkan pasukan itu menjaringkan sebanyak 26 gol dengan lapan daripadanya disumbangkan pemain itu.

Namun, di sebalik kejayaan penyerang kelahiran Melaka itu, beberapa pemain terpaksa akur dengan minit permainan yang lebih rendah apabila kepercayaan Rezal diletakkan di atas bahu Nurshamil.

286292512_7969071086496662_3213391965024510119_n

Nurshamil Abd Ghani bermain dengan cukup cemerlang musim ini. — Facebook/TRW Kelantan FC

Antaranya, penyerang import Brazil, Nixon Guylherme yang dikatakan dilanda kecederaan sehingga terpaksa disisihkan daripada kesebelasan utama mahupun di bangku simpanan.

Perkara ini semestinya menjejaskan kebolehan dan pergerakan Nixon apabila pengalaman yang diperolehi menerusi aksi perlawanan merupakan kunci kepada kemampuan seseorang penyerang.

Meskipun penyerang ini mampu diturunkan ketika menentang Selangor FC II pada Ahad malam, pemain berjersi no. 9 ini pasti berang akan keputusan untuk mengehadkan peluangnya untuk beraksi bersama rakan sepasukan.

Kecewa dengan perkara itu, Nixon telah bertindak untuk meluahkan perasaannya di laman media sosial Instagram yang menarik perhatian penyokong The Red Warriors (TRW) dan peminat bola sepak tanah air keseluruhannya.

"Mereka cuba untuk memadamkan sinar saya tetapi saya tidak cedera lagi. Tuhan tahu segala-galanya dan lambat laun kebenaraan pasti akan terserlah," katanya.

Dalam hantaran itu, dia seakan-akan menimbulkan tanda tanya kepada orang ramai mengenai pihak yang mengehadkan minit dan aksi permainannya di atas padang meskipun tidak dilanda kecederaan.

Nixon pasti mahu menunjukkan kebolehannya kepada penyokong apabila dia dibawa masuk dengan reputasi yang menggunung apabila dia pernah memenangi Anugerah Kasut Emas dalam saingan Liga Perdana Bangladesh.

Persoalannya, mampukah Nixon menjawab persoalan daripada pihak pengurusan dan kejurulatihan apabila hanya satu perlawanan berbaki yang mampu menjawab teka-teki akan masa depannya bersama kelab itu. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram