TFC lebih layak julang Piala FA banding JDT — Jamal Nasir


  • Podium
  • Isnin, 05 Sep 2022

10 September ini menyaksikan antara TFC dan JDT, pasukan mana akan bergelar juara pada kejohanan Piala FA 2022 di SNBJ, Kuala Lumpur. — Facebook TFC

DEBARAN kian dirasakan dalam kalangan penyokong bola sepak Malaysia, antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Takzim (JDT), pasukan mana akan bergelar juara saingan Piala FA 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan memberitahu, sepak mula perlawanan akhir edisi ke-32 itu mulai pukul 9 malam pada 10 September ini selepas tertangguh bagi edisi musim lalu dan tahun 2020 akibat pandemik Covid-19.

Kali terakhir kedua pasukan bertembung pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus, Terengganu menyaksikan skuad Penyu ditewaskan 1-2 di tangan Harimau Selatan.

Namun, keputusan pada perlawanan berkenaan bukan menjadi kayu ukur aksi pentas akhir Piala FA 2022 kerana pastinya kedua pasukan membawa senjata rahsia untuk menjulang kejohanan tersebut.

Berbicara mengenai soal ramalan pasukan mana yang akan membawa balik trofi Piala FA, legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir berasa skuad berpangkalan di Pantai Timur itu pasti akan mengkucar-kacirkan JDT.

Bukan hanya bercakap kosong, bagi Jamal Nasir, skuad dibawah kendalian Nafuzi Zain itu mempunyai semangat juang yang tinggi untuk mengalahkan JDT berikutan ingin menamatkan kemarau kejuaraan Piala FA selama 11 tahun.

WhatsApp Image 2022-09-04 at 10.52.58 PM

Kali terakhir kedua pasukan bertembung pada aksi Liga Super menyaksikan skuad Penyu ditewaskan 1-2 di tangan Harimau Selatan. — Facebook TFC

Kali terakhir Terengganu menjulang Piala FA adalah pada tahun 2011 iaitu ketika skuad dibawah kendalian bimbingan Irfan Bakti Abu Salim mengalahkan Kelantan Red Warriors.

“Sebab 11 tahun dia tak masuk final, fokus, semangat semua membara-bara masa itu.

“JDT ini dah banyak sangat piala dia dapat. Jadi mereka tak sangat eager nak menang tu. Sebab itu masa KL lawan JDT, saya memang target KL menang sebab lama mereka tidak julang Piala Malaysia,” katanya kepada Majoriti.

Mungkin pendapatnya dianggap tidak masuk akal dek kerana di atas kertas kehandalan skuad dibawah bimbingan Hector Bidoglio sememangnya tidak disangkal lagi dengan memiliki himpunan pemain yang cemerlang.

Namun bekas pemain Pahang itu berasa yakin dengan semangat juang yang bakal ditunjukkan oleh barisan pemain Terengganu.

“Benda pelik-pelik memang tak masuk akal. Tapi itu berdasarkan pengalaman saya.

“Saya baca dari segi pengalaman. Macam Pahang tahun 1983, pertama kali masuk final lawan Selangor. Zaman itu setiap tahun Selangor menang. Pertama kali pada 1983, Pahang menang.

“Kali ini, pemain Terengganu memang letak semua semangat masa main bola itu. Setiap minit, setiap saat. Aura orang lama tak masuk final ini lain,” jelasnya.

Untuk rekod, TFC pernah memenangi Piala FA sebanyak dua kali pada 2000 dan 2011 sementara JDT pula dua kali iaitu pada 2016 dan 1998.

WhatsApp Image 2022-09-04 at 10.55.58 PM

TFC belum dapat beri kepastian sama ada Rahadiazli dapat bermain pada final Piala FA meskipun dilaporkan dia kini semakin stabil dan sedar sepenuhnya. — Facebook TFC

Sementara itu, ketika sedang menghitung hari ke pentas akhir Piala FA, skuad Penyu ditimpa masalah apabila penjaga gol utama TFC, Rahadiazli Rahalim mungkin tidak dapat beraksi pada saingan akhir itu.

Rahadiazli terpaksa dikejarkan ke hospital ekoran bertembung dengan pemain gantian Melaka United FC, Harith Naem Jaineh di dalam kotak penalti sewaktu perlawanan antara TFC dengan Melaka United di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu.

Majoriti sebelum ini melaporkan, insiden tersebut sememangnya meresahkan seluruh pasukan menjelang pentas akhir Piala FA lagi-lagi Rahadiazli antara tonggak utama kepada skuad Sang Penyu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram