PERSOALAN mengenai siapa ketua jurulatih Kelantan pada musim hadapan bakal terjawab tidak lama lagi.
Setakat ini, seorang calon yang berada dalam senarai teratas pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman adalah Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim.
Menurut Norizam, antara ciri penting yang perlu ada pada ketua jurulatih The Red Warriors (TRW) pada musim depan adalah keserasian dengan dirinya sebagai pemilik kelab agar pengurusan kelab berjalan dengan lancar.
Bagaimanapun, Norizam yang mesra disapa Zamsaham menegaskan persetujuan itu hanya dapat termeterai jika kedua-dua pihak bersetuju dengan 'pinangan' dan 'hantaran' yang bakal diberikan.
"Ya (berminat dengan khidmat Teong Kim) jika semua terma dan syarat dipersetujui bersama. Dia berada dalam senarai ketua jurulatih tempatan yang saya sedang pertimbangkan.
"Saya pun sebenarnya sudah berbual dengan Teong Kim, seorang figura yang luar biasa, begitu juga dengan Datuk K Rajagobal tetapi saya sebenarnya lebih suka untuk menggilap bintang daripada menerima bintang.
"Jadi berkemungkinan kalau mereka (Teong Kim atau Rajagobal) jadi pengarah teknikal, pengarah sukan ataupun memainkan peranan utama dalam pengurusan dan penasihat, mungkin saya boleh pertimbangkan.
"Bagi saya, tidak salah untuk mencuba sesuatu perkara yang baharu," katanya pada sidang media selepas Majlis Tandatangan Pemilikan Saham TRW Kelantan FC di sebuah hotel di ibu negara, pada Jumaat.
Pada majlis terbabit, Kelantan FC mengumumkan Presiden Skyrian Sdn Bhd, Nik Hafiz Naim Nik Hassan sebagai pemegang lima peratus saham syarikat membabitkan nilai RM3 juta.
Terdahulu, Majoriti melaporkan bahawa Rezal Zambery tidak akan bersama pasukan TRW musim depan.
Ini kerana ketua jurulatih yang mengendalikan pasukan di Liga Super perlu mendapatkan lesen kejurulatihan Pro A sementara pengendali kelahiran Johor itu hanya mempunyai lesen kejurulatihan A. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram