LEGENDA Liverpool, Greame Souness sekali lagi mendambakan persembahan yang lebih baik daripada bintang pasukan itu, Mohamed Salah yang gagal menghasilkan sebarang impak dalam pertembungan 'The Merseyside' dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu malam.
Dalam pertembungan seri tanpa jaringan ketika bertemu Everton, Salah jelas kelihatan tidak bermaya sekali gus menyebabkan pasukan kendalian Jurgen Klopp itu tidak berjaya membawa pulang tiga mata berharga.
Bagi Souness, dia melihat terdapat satu teori yang menyebabkan mengapa pemain kelahiran Mesir itu tidak mampu meneruskan kecemerlangannya seperti musim-musim kebelakangan ini.
"Sebelum ini, ketika Liverpool bertemu Manchester United, saya nampak bahawa pertahanan The Red Devils, Lisandro Martinez telah melumpuhkan kebolehan Salah walaupun dalam lima minit awal permainan.
"Sejak itu, saya lihat Salah akan terus berada berlegar-legar di bahagian posisi Martinez dan tidak lagi mencuba membuat sesuatu yang berbeza, selain saya juga tidak dapat melihat Salah kembali kepada prestasi terbaiknya walaupun dalam perlawanan ini (berdepan Everton)," katanya.
Tambah legenda kelahiran Perancis itu, dia juga risau akan kontrak lumayan yang ditandatangani Salah untuk kekal di Anfield musim ini menyebabkan pemegang Kasut Emas EPL itu tidak menunjukkan prestasi terbaik.
"Saya harap kontrak baharunya tidak menyebabkan Salah kelihatan sangat tenang dan tidak bersemangat untuk beraksi.
"Kali ini, saya bercakap sebagai seorang penyokong Liverpool dan saya harap perkara ini akan menyebabkannya rasa marah dan berazam untuk mendiamkan semua kritikan," katanya.
Pada musim panas lalu, Liverpool telah bertindak untuk menawarkan kontrak baharu dengan kenaikan gaji kepada pemain sayap itu dalam usaha mengekang perpindahannya ke Real Madrid ataupun Barcelona.
Namun, setakat ini, ayam tambatan The Kop itu hanya menjaringkan dua gol dalam enam perlawanan EPL, sekali gus menyebabkan The Reds berada di tangga keenam EPL dengan hanya mengutip sembilan mata. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram