Penyokong MU-Liverpool akhirnya sepakat, menyesal tak sudah gagal sambar Haaland


  • Podium
  • Khamis, 01 Sep 2022

Pada musim 2021, Liverpool dikatakan sanggup mengeluarkan belanja besar melebihi 100 juta pound untuk menandatangani Haaland. — Agensi

PENYERANG sensasi Manchester City, Erling Haaland mempunyai potensi memahat nama dalam sejarah sepanjang zaman The Citizens selepas meledak hatrik ketika membelasah Nottingham Forest 6-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad pada Khamis.

Malah pengendali Manchester City, Pep Guardiola percaya bekas pemain kelab Bundesliga Jerman, Borussia Dortmund itu mampu lebih menyerlah bersama City selepas ini biarpun mengambil masa menyesuaikan diri dengan gaya permainan EPL.

Hatrik Haaland itu menyaksikan dia menjadi pemain pertama dalam era EPL yang menjaringkan sembilan gol dalam lima perlawanan pertamanya, dilihat bersedia untuk mencabar rekod gol tertinggi Alan Shearer iaitu 34 gol dalam satu musim.

Aksi cemerlang Haaland itu dicemburui oleh penyokong pasukan lain seperti dalam kalangan peminat Liverpool dan Manchester United sehinggakan mereka berasa satu kerugian besar apabila kelab kesayangan masing-masing tidak menyambar pemain itu dari Borussia Dortmund.

erling-haaland-1

Haaland meledak hatrik pada minit ke-12, 23, dan 38 ketika membantu City membelasah Nottingham Forest 6-0. — Agensi

"Haaland ini memang the beast. Hatrik terus. Rugi tak sign dia awal-awal, harga pun tak mahal," kata penyokong Liverpool, Faris Amni.

"Dia diakui memang hebat skor. Dapat pula main dengan pasukan yang barisan tengahnya jolok bola macam letak dengan tangan. Lagi menjadilah dia," kata Sham Daddy's.

"Ada peluang semasa dia budak-budak lagi bermain bersama Minamino dan harganya murah-murah saja. Tapi Klopp pilih beli Minamino," komen Lang Kuek Pie.

Pada musim 2021, Liverpool dikatakan sanggup mengeluarkan belanja besar melebihi 100 juta pound (RM520.6 juta) untuk menandatangani Haaland.

Sebelum itu pada 2019, Manchester United menawarkan sehingga 67.2 juta pound (RM350.56 juta) bagi mendapatkan Haaland yang ketika itu dia bersama RB Salzburg.

Untuk rekod, ketika berdepan Forest, Haaland meledak hatrik pada minit ke-12, 23, dan 38 manakala tiga lagi gol City dijaringkan Julian Alvarez (65, 87) dan Joao Cancelo (50) untuk kemenangan keempat sekali gus mengutip 13 mata, dua mata di belakang pendahulu EPL, Arsenal yang mengutip 15 mata maksimum selepas lima perlawanan setakat ini.. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram