Biasalah van Dijk-Milner bergaduh... Ini yang Man United mahukan — Klopp


  • Podium
  • Selasa, 23 Ogos 2022

Pemain Liverpool, Luis Diaz cuba melepasi kawalan pertahanan Manchester United pada aksi EPL di Old Trafford pada Selasa. — Agensi

DI kala peminat Manchester United meraihkan kejayaan menang 2-1 ke atas Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, England pada Selasa, penyokong The Reds pula tertanya-tanya akan pergaduhan melibatkan pasukan itu iaitu James Milner dan Virgil Van Dijk.

Tampil mengulas mengenai ‘perang mulut’ yang berlaku antara kedua pemain itu pada lewat perlawanan, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan ia hanya perkara biasa yang berlaku selepas mana-mana perlawanan.

Malah katanya, setakat ini memang tidak apa-apa isu yang timbul dalam kalangan pemain hingga boleh menganggu keharmonian pasukan.

“Bagi saya perkara itu hanya perkara biasa dan berlaku dalam mana-mana perlawanan, tidak apa yang perlu dibimbangkan,” katanya.

Kekalahan di tangan Manchester United membuatkan Klopp mahu melakukan sesuatu dalam usaha meraih kejayaan musim ini.

Menurut Klopp, sesuatu perlu dilakukan terhadap The Reds yang masih belum mencatatkan sebarang kemenangan setakat ini setelah terikat 2-2 dengan Fulham pada aksi pembukaan 6 Ogos lalu selain seri 1-1 dengan Crystal Palace pada 16 Ogos.

“Saya mengambil berat mengenai situasi ini. Ia agak membimbangkan sebenarnya apabila kita tewas mengejut kepada United.

“Apa pun, secara keseluruhannya, saya melihat inilah sebenarnya yang dimahukan oleh mereka (United), cara mereka bermain...ya, mereka lebih agresif sejak awal.

“Oleh itu, tidak salah kalau dikatakan kekalahan ini juga sebenarnya berpunca daripada kesilapan kita sendiri,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, United membuka jaringan menerusi Jadon Sancho pada minit ke-16, diikuti Marcus Rashford pada minit ke-53 sebelum Mohamed Salah menjaringkan gol tunggal Liverpool pada minit ke-81.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram