'Bukan niat kami,' Klopp lega tak perlu jawab soalan klise


  • Podium
  • Ahad, 28 Ogos 2022

Bintang Liverpool, Roberto Firmino meraikan gol kemenangan ketika menentang Bournemouth di Anfield, pada Sabtu. — Agensi

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp berkata, dia tidak berniat 'memalukan' Bournemouth selepas pasukannya mencatat kemenangan 9-0 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.

Menurut Klopp, Liverpool menjaringkan lima gol pada separuh masa pertama termasuk dua gol pada 10 minit pertama perlawanan.

Tidak terhenti di situ, The Reds terus mendahului dengan empat lagi gol pada separuh masa kedua, dengan enam pemain dalam senarai penjaring.

"Kami menjaringkan gol yang menarik. Perlawanan ini adalah tentang meneruskan permainan dengan jaringan demi jaringan.

"Bukan untuk mengaibkan Bournemouth, tetapi ini tentang meletakkan lawan di bawah tekanan," katanya memetik laporan ESPN.

Keputusan itu meletakkan Liverpool di tangga kelapan dalam carta selepas mereka hanya mengutip dua mata daripada tiga perlawanan pertama sebelum ini.

master_94a29bM4Pk_725_liverpool

Kemenangan ke atas Bournemouth meletakkan Liverpool di tangga kelapan carta EPL. — Agensi

Pada masa sama, kemenangan itu membantu Liverpool menyamai rekod kemenangan terbesar dalam sejarah Liga Perdana sejak 1992 yang menyaksikan dua kelab pernah menang 9-0 dengan lawan masing-masing.

Manchester United pernah melakukannya dua kali ketika menentang Ipswich Town (Mac 1995) dan Southampton (Februari 2021). Selain itu ialah Leicester City apabila bertemu Southampton pada Oktober 2019.

Liverpool akan menentang Newcastle, yang masih belum tewas setakat musim ini, pada Rabu depan.

"Perlawanan itu pasti akan memberikan sesuatu yang berbeza," tambah Klopp.

Menurutnya, dia amat menghargai kemenangan menentang Bournemouth dan mahu terus mencari konsistensi dalam perlawanan seterusnya.

"Sekurang-kurangnya kami tidak perlu menjawab soalan mengapa tidak menang. Ia hari yang sangat baik namun kami tidak akan terbawa-bawa dengan kemenangan ini.

"Jika kami mahu berjaya dalam liga ini, kami perlu memberikan konsistensi. Itulah yang perlu kami lakukan sekarang.

"Kami akan nilai permainan Newcastle esok (Isnin) dan lihat apa yang boleh kami lakukan untuk menentang mereka, pada Rabu," ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram