'Dah layak Piala Asia, jadi jangan stres jika gagal juara Piala AFF'


  • Podium
  • Ahad, 04 Sep 2022

Skuad Harimau Malaya pasti berharap supaya episod gelap Piala AFF 2020 tidak kembali menghantui mereka.

SELEPAS berjaya membawa pasukan kebangsaan layak ke saingan Piala Asia, ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon (KPG) perlu menumpukan perhatian kepada saingan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Ujian getir menanti anak-anak buah pengendali kelahiran Korea Selatan itu apabila mereka bakal bertemu pasukan gergasi Asia Selatan, Vietnam yang pernah menjulang piala itu sebanyak dua kali.

Selain itu, pasukan kebangsaan turut diundi bersama negara jiran, Singapura yang sering menjadi duri dalam daging terhadap kemaraan skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Kesukaran itu pasti dirasai pemain dan penyokong apabila mereka mahu menebus kekecewaan edisi lalu apabila mereka gagal untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati selepas berada di kedudukan ketiga daripada lima pasukan.

Namun, bagi pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, peminat tidak perlu memberi tekanan kepada pasukan itu sekiranya mereka tidak berjaya menjulang trofi itu buat kali kedua.

introduce the new national  coach, Kim Pan Gon. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Kim Pan-gon berjaya membawa skuad kebangsaan ke Piala Asia 2023.

"Walaupun kita sudah berjaya melayakkan diri ke Piala Asia di bawah KPG, saya tidak rasa orang ramai perlu kecewa sekiranya kita gagal menjadi juara (Piala AFF) kali ini.

"Ini kerana saya merasakan bahawa setiap pasukan Asia Tenggara mempunyai misi tersendiri untuk menjadi juara dan kita faham, sentimen dan semangat yang berbeza bakal dibawa kesemua pasukan," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, perkara ini berikutan kemampuan pasukan kebangsaan untuk menjulang trofi itu apabila ia dianjurkan setiap dua tahun bagi memberi peluang kepada pasukan di ranjau ini untuk menunjukkan kebolehan mereka.

Namun, Pekan mahu pasukan membawa semangat dan keazaman yang tersendiri apabila pertandingan ini mampu menjadi penanda aras kepada kebolehan untuk bersaing bersama pasukan yang lebih mencabar di Piala Asia kelak.

"Tetapi, saya harap, meskipun tidak berjaya membawa pulang kejuaraan itu, pasukan ini perlu berada di tahap yang dihormati dalam kalangan pasukan lain di Asia Tenggara," katanya.

Sebelum ini, skuad Harimau Malaya pernah muncul sebagai juara Piala AFF pada 2010 selepas menumpaskan Indonesia semasa berada di bawah kendalian Datuk K. Rajagopal.

KUALA LUMPUR, 1 Sept -- Ketua Jurulatih Pasukan Bawah 23 (B-23) Kebangsaan, E. Elavarasan ditemui selepas sidang media pengumuman barisan kejurulatihan skuad B-23 di Wisma FAM, hari ini.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

E. Elavarasan bakal mengendalikan skaud Harimau Malaya B-23.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pelantikan E Elavarasan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan B-23, Pekan tidak melihat perkara itu bakal mengganggu pendekatan taktikal yang diterapkan dalam pasukan kebangsaan.

"Saya rasa itu antara sebab mengapa Elavarasan dilantik sebagai jurulatih yang mampu mewujudkan kesinambungan dari segi falsafah bola sepak yang diterapkan KPG dan juga menggunakan pendekatan kejurulatihan yang diterapkan ketua jurulatih itu.

"Jika Ela tidak dilantik, saya pasti pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan melantik jurulatih-jurulatih lain yang mungkin lebih sesuai," katanya.

Khamis lalu, FAM mengumumkan Elavarasan bakal mengisi kekosongan ketua jurulatih skuad B-23 selepas pengendali berdarah Australia, Brad Maloney meninggalkan pasukan itu.

Mereka turut mengumumkan bahawa Elavarasan akan juga mengekalkan jawatannya sebagai pembantu jurulatih kepada KPG meskipun memikul tanggungjawab yang berat itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram