BERDASARKAN ranking semasa, skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon mungkin tidak akan berdepan masalah untuk melepasi peringkat kumpulan Kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 apabila diundi bersama Vietnam.
Menerusi undian yang dijalankan di Bangkok, Thailand pada Selasa, Vietnam yang kini berada di ranking ke-97 dunia sahaja yang dilihat bakal menjadi cabaran buat Malaysia apabila diundi bersama di dalam kumpulan B.
Selain Vietnam, turut diundi di dalam kumpulan B bersama Malaysia ialah juara empat kali kejohanan AFF, Singapura, Myanmar dan Laos.
Keputusan undian dikongsikan di Facebook Football Association of Malaysia. — Facebook
Dalam satu lagi kumpulan menyaksikan, juara bertahan Thailand diletakkan bersama finalis edisi lalu Indonesia selain Filipina, Kemboja dan pemenang kelayakan antara Brunei dan Timor Leste.
Keputusan undian dikongsikan di Facebook Football Association of Malaysia pada Selasa.
Kejohanan dwitahunan itu pastinya akan menjadi medan terbaik buat Pan-gon untuk menguji barisan terbaik menjelang kejohanan Piala Asia AFC 2023 yang bakal ditentukan tuan rumah.
Untuk rekod, Malaysia layak ke final sebanyak empat kali dan muncul juara pada edisi 2010 dan pastinya Harimau Malaya mahu membuktikan kemampuan mereka pada edisi ini selepas gagal beraksi dengan baik sebelum ini.
Dalam pada itu, Pan-gon berkata, keputusan undian Kumpulan B itu disifatkan sebagai medium terbaik dalam menguji kekuatan pasukannya.
"Ia undian yang baik untuk kami walapun pasukan lain juga kuat tetapi kami sudah bersedia. Vietnam adalah yang paling kuat manakala Singapura, Myanmar dan Laos juga pasukan yang bagus.
"Kita akan berikan saingan terbaik dan keputusan yang baik. Ini adalah peluang terbaik untuk berdepan pasukan terkuat dan muka-muka baharu untuk menguji mereka (Harimau Malaya),” katanya menerusi video yang dikongsi kepada media. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram