Lima calon pemain bakal digugurkan Pan-gon


  • Podium
  • Khamis, 02 Jun 2022

Pan-gon dijangka mengugurkan 6 pemain bagi melengkapkan senarai 23 pemain bagi Kelayakkan Piala Asia 2023.

KETUA jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon (KPG) hanya boleh menyenaraikan 23 pemain sahaja bagi kejohanan Kelayakan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada Rabu (8 Jun) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Pasukan Malaysia mengharungi dua perlawanan persahabatan bertemu pasukan kebangsaan Brunei dan Hong Kong yang mana berkesudahan dua kemenangan tanpa sebarang bolos di SNBJ.

Pemain-pemain yang dipanggil oleh Pan-gon menunjukkan komitmen yang tinggi dengan menampilkan prestasi baik untuk memikat hati ketua jurulatih kelahiran Korea Selatan itu.

Walaubagaimanapun, Pan-gon hanya boleh membawa 23 pemain bagi menggalas tanggungjawab untuk menamatkan penantian selama 42 tahun layak secara merit bagi kejohanan Piala Asia 2023.

Sebelum ini Pan-gon telah memanggil 30 pemain bagi menyertai kem latihan kebangsaan sebelum menggugurkan tujuh pemain untuk melengkapkan senarai 23 pemain bagi kelayakan Piala Asia.

Ini lima calon pemain yang dijangka digugurkan oleh Pan-gon:

Syihan Hazmi

Syihan pernah terpalit dengan kes 'dopping' menyebabkan karier bola sepaknya terhenti selama dua tahun.

1.Syihan Hazmi (Penjaga Gol)

Penjaga gol Negeri Sembilan FC (NSFC), Syihan Hazmi menampilkan satu prestasi yang cukup memberangsangkan pada aksi Liga Super 2022 musim ini selepas membantu pasukan NSFC menduduki tangga ketiga liga.

Pemain kelahiran anak jati Kelantan ini pernah terpalit dengan isu 'dopping' sehingga menyebabkan karier bola sepaknya terhenti sebentar hampir dua tahun sebelum membuat kemunculan semula bersama Petaling Jaya City FC.

Syihan menjadi antara kunci utama Negeri Sembilan menampilkan prestasi yang baik dalam saingan Liga Super musim ini sekali gus telah dipanggil oleh Pan-gon untuk menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya.

Pemain berusia 26 ini mungkin akan digugurkan oleh KPG selepas posisi penjaga gol telah dibarisi pemain berpengalaman seperti Farizal Marlias, Khairulazhan Khalid dan Kalamullah Al-Hafiz.

Khair Jones

Jones tidak pernah beraksi di bawah Pan-gon bagi perlawanan persahabatan antarabangsa.

2. Khair Jones (Bek Kiri)

Pemain berdarah kacukan New Zealand-Malaysia ini telah dipanggil buat kali kedua di bawah bimbingan bagi menyertai kem latihan kebangsaan bagi Kelayakkan Piala Asia 2023.

Jones dijangka menjadi 'back up' bagi Corbin Ong di posisi pertahanan kiri sebelum Pan-gon bertindak memanggil pemain muda PJ City, Ruventhiran Vengadesan untuk bersaing di bahagian tersebut.

Pada perlawanan persahabatan bertemu pasukan Brunei, Ruventhiran telah menjadi pilihan untuk mengisi posisi bek kir dan dia bermain dengan baik walaupun baru sahaja menyertai pasukan kebangsaan.

Walaupun dipanggil sebanyak dua kali, Jones tidak pernah beraksi di bawah pengurusan Pan-gon bagi perlawanan persahabatan antarabangsa yang mana dia hanya beraksi dalam perlawanan tertutup bertemu kelab Singapura, Albirex Niigata

Shahrul Nizam

Shahrul juga tidak pernah mendapat peluang untuk membuktikan kelebihan yang ada pada dirinya apabila dia juga tidak bermain dalam perlawanan persahabatan.

3. Shahrul Nizam (Bek Tengah)

Pertahanan kental pasukan Terengganu FC, Shahrul Nizam Roshani mendapat panggilan skuad kebangsaan bersama Ruventhiran Vengadesan pada saat-saat akhir bagi melengkapkan senarai 30 pemain.

Di posisi pertahanan tengah, Shahrul akan bersaing dengan nama-nama pemain yang hebat seperti Dion Cools, Junior Eldstal, Shahrul Saad, Dominic Tan dan Khuzaimie Piee yang telah bermain di bawah Pan-gon.

Nasib Shahrul juga sama seperti Jones yang tidak pernah mendapat peluang untuk membuktikan kelebihan yang ada pada dirinya apabila dia juga tidak bermain dalam dua aksi terakhir perlawanan persahabatan.

Rugi rasanya jika pemain berkaki kidal ini digugurkan oleh Pan-gon kerana rekod sebelum ini jurulatih itu telah membawa masuk Khuzaimi sebagai pemain pertahanan tengah berkaki kiri atas sebab taktikal yang mana dia beraksi dengan cemerlang.

Afiq Fazail

Afiq telah melakukan 71 penampilan berserta tiga jaringan gol bersama pasukan gergasi selatan tanah air itu.

4. Afiq Fazail (Pemain Tengah)

Pemain kelahiran Johor ini menampilkan aksi yang cemerlang bersama pasukan Johor Darul Takzim (JDT) sehingga membantu pasukannya layak ke pusingan kalah mati bagi Kejohanan Piala Juara-Juara Asia (ACL) pada April.

Walaupun begitu, Pan-gon tidak pernah menurunkan pemain ini dalam dua aksi terakhir perlawanan persahabatan bertemu pasukan Brunei dan Hong Kong yang mana sebaliknya lebih memilih Liridon Krasniqi.

Afiq juga dijangka digugurkan oleh Pan-gon kerana hanya tinggal dia seorang sahaja yang masih belum mendapat peluang untuk turun membuktikan kemampuannya bersama pasukan Harimau Malaya.

Pemain berusia 27 tahun ini telah melakukan 71 penampilan berserta tiga jaringan gol bersama pasukan gergasi selatan tanah air itu.

Matyo

De Paula dlijangka mengisi kuota terakhir memandangkan Pan-gon lebih mempercayai pemain itu berbanding Mat Yo.

5. Norshahrul Idlan Talaha (Penyerang)

Ketua jurulatih Malaysia, Pan-Gon berkemungkinan sudah pasti akan menyenaraikan Darren Lok dan Syafiq Ahmad dalam skuad akhir 23 pemain Kelayakan Piala Asia 2023 selepas dua pemain itu menampilkan aksi yang cemerlang.

Pan-gon turut pasti akan memilih satu lagi penyerang sebagai 'back up' sekiranya salah satu pemain tersebut mengalami sebarang kecederaan ketika saingan berlangsung dan sudah semestinya ia adalah pemain naturalisasi, Guilherme De Paula.

De Paula dlijangka mengisi kuota terakhir memandangkan Pan-gon lebih mempercayai pemain itu apabila menurunkannya dalam perlawanan menentang Brunei dan Hong Kong berbanding Norshahrul Idlan Talaha.

Tidak dapat dipastikan kenapa Pan-gon memanggil pemain yang lebih dikenali sebagai 'Mat Yo' ke kem latihan kebangsaan sedangkan ada penyerang yang lebih menyerlah dalam saingan Liga Malaysia kali ini.

Pasukan kebangsaan bakal mengharungi tiga perlawanan menetang pasukan Turkmenistan, Bahrain dan Bangladesh di SNBJ bagi kelayakan Piala Asia 2023 pada minggu hadapan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram