'KPG patut call-up mereka', 3 pemain lokal ini menyerlah ketika belasah PSM Makassar


  • Podium
  • Khamis, 25 Ogos 2022

Kemenangan bersejarah KL City FC membawa kegembiraan kepada para pemain dan penyokong The City Boys. — Majoriti

KEMENANGAN bersejarah yang berjaya dilakar KL City FC ketika perlawanan akhir Piala AFC zon ASEAN menentang PMS Makassar memberikan kegembiraan kepada penyokong kelab itu dan penonton bola sepak tanah air seluruhnya.

Anak buah Bojan Hodak menunjukkan rentak permainan yang bertenaga sehingga menyukarkan barisan serangan wakil Indonesia itu untuk melakukan percubaan sepanjang separuh masa pertama.

Walaupun PSM Makassar berjaya menjaringkan dua gol memasuki babak kedua, The City Boys memastikan kemenangan berpihak pada mereka dengan jaringan akhir 5-2.

Selain kecemerlangan berkumpulan yang ditonjolkan KL City FC menjadi kunci kepada kemaraan mereka, prestasi dan persembahan individu turut diakui para penyokong yang menyaksikan kejayaan bergaya itu.

Pasukan yang dibintangi pemain import, termasuk kapten, Paulo Josue dan penyerang, Jordan Mintah ini turut dibarisi beberapa pemain tempatan yang jarang mendapat perhatian untuk diserap ke dalam skuad kebangsaan.

Oleh itu, peminat bola sepak tempatan pasti mahu melihat beberapa pemain untuk dipanggil Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon (KPG) bagi mewakili pasukan kebangsaan dalam perlawanan akan datang.

1. Akram Mahinan

Perlawanan akhir yang menyaksikan KL City FC berhasil menyumbat lima gol mempamerkan kemampuan barisan serangan juara Piala FA 2021 itu.

Tetapi, gerak-geri dan corak permainan yang ditampilkan pemain tengah pasukan, Akram Mahinan seharusnya diberikan pujian dan mendapat perhatian apabila penyokong melihat sumbangannya sepanjang 90 minit tidak boleh dipandang rendah.

Diturunkan sebagai pemain tengah bertahan, Akram berjaya membaca gerak atur yang dirancang PSM Makassar sehingga menyukarkan mereka menembusi barisan pertahanan The City Boys.

Tidak cukup dengan itu, pemain berjersi no.14 ini juga sering melakukan bentesan dan usaha memenangi semula bola daripada pemain lawan yang menunjukkan kemampuannya untuk dipanggil menyertai kem skuad Harimau Malaya.

Akram, yang pernah tampil sebanyak tiga kali dalam skuad kebangsaan, umpama sudah dilupakan apabila Syamer Kutty Abba sering diturunkan KPG sebagai pemain tengah dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

300817882_5551143241595451_5005366245928561587_n

Prestasi Akram Mahinan semakin memberangsangkan sejak menyertai KL City FC Facebook/Kuala Lumpur City

Namun, berdasarkan permainan yang ditonjolkan Akram, segelintir penyokong mahu dia dipanggil semula ke dalam skuad bagi mewakili pasukan bola sepak negara.

"Akram Mahinan patut dipanggil semula bagi mewakili skuad kebangsaan, tak nampak lagi mana-mana pemain tengah pertahanan seperti dia dalam kalangan pemain tempatan," kata Mohd Yusoff.

"Bila lagi Akram Mahinan akan dipanggil untuk mewakili skuad kebangsaan bagi perlawanan antarabangsa?" soal Adli de Katelaere.

2. Kamal Azizi

Meskipun ramai penonton bola sepak tanah air menggemari kehadiran pertahanan kanan Johor Darul Takzim (JDT), Matthew Davies dalam skuad kebangsaan, mereka mengganggap kekurangan pemain yang boleh mengisi kekosongan posisi itu boleh memberi kesan terhadap kejayaan skuad kendalian KPG.

Persoalannya, siapakah yang wajar dianggap sebagai pemain simpanan untuk diturunkan sekiranya Matt Davies dihurungi kecederaan atau tidak berada dalam tahap kecergasan terbaik?

Teka-teki itu terjawab apabila Kamal Azizi menunjukkan kemampuannya sebagai pertahanan yang dapat melumpuhkan serangan lawan daripada bahagian sayap kiri.

251391216_4628174810558970_2412689169951082009_n

Kamal Azizi (tengah) sering menunjukkan kemampuannya sebagai seorang pertahanan kanan Facebook/Kuala Lumpur City

Sekiranya penyokong melihat kemampuannya dalam saingan Liga Super, mereka juga akan melihat bahawa Kamal Azizi merupakan salah seorang pemain pertahanan kanan yang wajar diberi perhatian oleh barisan kejurulatihan Harimau Malaya.

Namun, ketika menentang PSM Makassar, Kamal menaikkan lagi namanya dalam kalangan peminat bola sepak tanah air apabila berjaya mengurangkan gerak-geri pemain lawan.

Oleh itu, segelintir penyokong mahu melihat pemain berusia 27 tahun ini untuk dibawa masuk bagi mendapatkan pengalaman beraksi di pentas antarabangsa.

"Kamal Azizi sudah mampu menjadi salah seorang pemain pertahanan kanan yang bagus berbanding sebelum ini, bukan?" soal penyokong, Afizi B yang menggemari rentak permainan Kamal dalam perlawanan itu.

"Selain Akram Mahinan, Kamal Azizi ini pun wajar dipanggil untuk mewakili skuad kebangsaan selepas ini," kata Muhammad Sidqi.

3. Zhafri Yahya

Satu lagi nama yang disebut-sebut untuk mewakili skuad kebangsaan adalah pemain sayap kanan, Zhafri Yahya yang menunjukkan kebolehannya dalam merancang kemenangan buat The City Boys.

Dalam perlawanan tersebut, tandukan Zhafri di dalam kotak penalti PSM Makassar yang sedikit kucar-kacir berjaya dimanfaatkan penyerang import, Romel Morales untuk jaringan pertama permainan.

Zhafri sekali lagi mencuri tumpuan memasuki babak kedua apabila dia berjaya memenangi penalti setelah dikasari pemain lawan pada minit ke-52 yang kemudiannya berjaya dijaringkan Paulo Josue.

Selain sumbangan dalam dua gol itu, pemain berusia 27 tahun ini juga menunjukkan keupayaannya apabila hantaran dan lorongan bahayanya sering memberi kegusaran kepada pertahanan PMS Makassar.

WhatsApp Image 2022-08-25 at 12.30.23 PM

Hantaran berbahaya Zhafri Yahya mampu meningkatkan keupayaan skuad Harimau Malaya. Instagram/Zhafri Yahya

Melihat kepada sumbangan-sumbangan itu, tidak hairanlah sekiranya terdapat desakan dalam kalangan penyokong untuk membawa masuk Zhafri buat kali pertama bagi mewakili pasukan negara.

"Sekiranya Zhafri Yahya ini tidak dapat dipanggil ke dalam skuad kebangsaan, aku pun tak faham apa lagi yang perlu dibuktikannya," kata Enjoy Zahin.

"Zhafri Yahya wajar diberikan peluang untuk mewakili negara sekiranya pasukan kebangsaan mempunyai apa-apa perlawanan pada September ini," kata Fikri Hariri. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram