Suka atau tidak, ini 3 sebab Nafuzi Zain perlu kekal jadi bos TFC


  • Podium
  • Selasa, 30 Ogos 2022

Nafuzi dilantik sebagai pengendali skuad Penyu pada Oktober 2019. — Facebook/TFC

MENJELANG pentas akhir Piala FA menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada 10 September nanti, Terengganu FC (TFC) dihimpit dengan pelbagai khabar angin sehingga dikatakan menganggu fokus mereka untuk final berprestij itu.

Antara khabar angin yang menimpa skuad Penyu ialah ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain dilaporkan bakal meninggalkan Terengganu pada musim depan dan beberapa kelab dalam saingan Liga Super mula dikaitkan dengan ketua jurulatih berusia 43 tahun itu.

Tidak dapat dinafikan ada yang menyambut baik khabar perpindahan itu namun majoriti penyokong TFC menggesa agar pengurusan Terengganu mengekalkan Nafuzi sebagai pengendali pasukan.

Berikut merupakan tiga sebab pihak pengurusan skuad Penyu perlu mengekalkan Nafuzi Zain pada musim depan:

1) Kembangkan bakat pemain muda

WhatsApp Image 2022-08-29 at 7.18.36 PM

Rahadiazli merupakan antara pemain muda TFC yang semakin menyerlah di bawah acuan Nafuzi. — Facebook TFC

Nafuzi Zain dikenali sebagai jurulatih yang mengetengahkan bakat-bakat muda dan memberi kepercayaan kepada mereka untuk memperkuatkan pasukan utama TFC.

Malah pada musim 2021, walaupun menurunkan barisan pemain muda, Nafuzi berjaya meraih tempat keempat dalam saingan Liga Super.

Menurut statistik, Terengganu berada di tangga pertama dalam liga sebagai pasukan yang menggunakan pemain muda paling kerap bagi musim 2021.

Malah pemain di bawah acuan jurulatih berusia 43 tahun itu juga merupakan tonggak Harimau Muda iaitu Azam Azmi Murad, Syafiq Ismail dan Rahadiazli Rahalim.

2) Faisal Halim akan kekal

faisal

Faisal diikatakan mendapat 'lamaran' Selangor FC. — Facebook TFC

Selain Nafuzi, tonggak Terengganu, Faisal Halim juga dikhabarkan akan meninggalkan TFC pada musim depan selepas dia dikaitkan dengan Selangor FC.

Bagaimanapun, penyokong membuat spekulasi bahawa pemain berusia 24 tahun itu akan kekal bersama dengan skuad Penyu sekiranya Nafuzi Zain kekal sebagai jurulatih.

Perkara itu dikukuhkan lagi apabila Faisal menetapkan dua syarat penting untuk bermain bersama Terengganu iaitu gaji yang ditawarkan dan keberadaan Nafuzi Zain pada musim depan.

"Saya mahukan keputusan yang wajar bagi menentukan masa depan saya dan kedudukan Nafuzi Zain sebagai jurulatih amat penting," kata Faisal memetik laporan Stadium Astro.

3) Corak permainan DNA Nafuzi Zain

WhatsApp Image 2022-08-29 at 7.18.40 PM

Terengganu kini menduduki tangga keempat bagi saingan Liga Super musim ini. — Facebook TFC

Tidak dapat dinafikan gaya permainan jurulatih kelahiran Kelantan itu semakin banyak berubah dari tahun pertama Nafuzi mengambil alih dan penyokong TFC juga bersetuju bahawa keserasian pemain juga bertambah baik dengan tunjuk ajar jurulatih itu.

Kehebatannya itu juga mendapat pengiktirafan yang mana Nafuzi dipilih sebagai jurulatih pilihan penyokong dalam Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2021.

Malah, Nafuzi merupakan antara jurulatih tempatan yang menyerlah pada musim ini apabila melayakkan TFC ke peringkat final Piala FA selepas 11 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram