Debut 2 ‘ubi muda’ bikin ‘fans’ Jang Hobin tak senang duduk


  • Podium
  • Isnin, 29 Ogos 2022

Adib Fariz Zulamri (kiri) dan Muhd Ridwan Dulfakar bakal berlatih bersama pasukan NSFC. — Facebook/Negeri Sembilan Football Club

PRESTASI kurang cemerlang daripada pasukan-pasukan gergasi Liga Super, seperti Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) membuka peluang kepada pencabar-pencabar baharu untuk merebut kejuaraan liga.

Antara pasukan yang dianggap sebagai 'underdog' dalam saingan musim ini adalah pendatang baharu, Negeri Sembilan FC (NSFC) yang sejak awal lagi menunjukkan kemampuan yang tersendiri sehingga mengejutkan pasukan lain.

Beroperasi dengan bajet yang sederhana, juara Liga Perdana musim lepas ini hanya menampilkan beberapa pemain import termasuk pemain tengah, Omid Nazari dan penyerang kelahiran Brazil, Matheus Alves.

Selain daripada pemain luar negara itu, pasukan kendalian K. Devan ini menampilkan pemain muda tempatan sehingga mereka dianggap tonggak kepada posisi yang tersendiri.

Namun, kepercayaan yang diberikan pengendali berusia 55 tahun ini terhadap pemainnya jelas membuahkan hasil apabila mereka seakan mencengkam kedudukan ketiga liga dengan hanya lima perlawanan berbaki.

Perkara ini turut memberi impak positif terhadap pemain skuad Jang apabila kecemerlangan yang dimiliki mereka untuk membantu seluruh pasukan berjaya menempatkan nama mereka dalam radar perpindahan pasukan-pasukan lawan yang lebih besar.

Nama-nama yang sering disebut sebagai pemain yang bakal berhijrah sekiranya jendela perpindahan dibuka musim depan adalah pemain pertahanan kanan, Khuzaimi Piee yang menaikkan namanya sebagai salah seorang pemain pertahanan yang mampu beroperasi di bahagian kanan mahupun tengah.

Selain itu, Syihan Hazmi yang menjaga gawang turut menunjukkan kemampuan tersendirinya apabila berjaya menarik perhatian kelab-kelab ternama, termasuk Johor Darul Takzim (JDT) dan Kelantan FC.

Oleh itu, tindakan awal pasti diambil untuk menggantikan pemain-pemain ini sekiranya mereka membuat keputusan meninggalkan skuad Jang musim depan.

Tetapi, Devan yang lebih gemar untuk mendapatkan pemain di luar radar, telah mengambil tindakan lebih awal untuk mempersiapkan pasukan ini bagi musim depan.

299376828_471493901525776_6867799697536549824_n

Pasukan kendalian K. Devan sedang menduduki tempat ketiga Liga Super Facebook/Negeri Sembilan Football Club

Dalam satu hantaran di Facebook, Negeri Sembilan memperkenalkan dua pemain muda, Adib Fariz Zulamri dan Muhd Ridwan Dulfakar yang sebelum ini bermain buat pasukan Piala Presiden kelab itu.

Ridwan mempunyai kemampuan untuk bermain sebagai penyerang sementara Adib Fariz mampu diturunkan sebagai pemain tengah dan kedua-dua mereka kelihatan sebagai prospek masa depan yang cerah buat kelab itu.

Meskipun jendela perpindahan masih belum dibuka dan tiada pemain yang secara rasmi meninggalkan skuad itu, langkah yang diambil Devan merupakan satu pendekatan yang baik dalam memberi peluang kepada kedua-dua pemain muda ini.

Perkara itu jelas diterima baik penyokong skuad Jang apabila pendedahan yang diberikan mampu mengasah bakat mereka selain membantu barisan kejurulatihan untuk mengenal pasti masa depan pemain berpotensi itu.

Peminat bola sepak tanah air, Salam Alias Salam berkata, kelahiran bakat dan latihan yang diberikan kepada pemain-pemain itu dapat memastikan mereka menyerlah dalam masa akan datang.

"Harap pemain-pemain muda ini mampu menjadi semakin baik dan berkebolehan untuk menjaringkan gol dalam apa jenis keadaan sekalipun.

"Bagi pemain tengah pula, saya harap dia mampu menambah baik posisi itu dengan skil dan kebolehan untuk melakukan hantaran dengan tepat," katanya.

Perkara itu turut dikatakan Fiq Nismilan yang mahu pemain muda daripada pasukan simpanan untuk dibawa masuk bagi menambah baik kualiti pasukan Negeri Sembilan FC.

"Satu langkah yang bagus, ramaikan lagi pemain-pemain muda dalam skuad Jang ini. Bagi pemain sedia ada pula, lanjutkan kontrak mereka sekiranya dalam persembahan yang terbaik," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram