MESKIPUN belum tamat musim ini, khabar angin mengenai pemain bola sepak tanah air yang akan melakukan perpindahan pada musim depan sering berlegar-legar di media sosial serta menjadi buah mulut peminat.
Selain daripada faktor gaji, antara salah satu punca perpindahan pemain terbabit adalah berkemungkinan mahu mencari keserasian dan keselesaan bersama kelab baharu.
Terbaharu, desas-desus mengatakan bahawa pertahanan legenda Johor Darul Takzim (JDT), Aidil Zafuan Abd Razak dikatakan tidak akan disambung kontrak bersama kelab gergasi selatan itu pada akhir musim nanti.
Semenjak menyertai JDT pada 2013, Aidil telah memenangi sebanyak lapan kali saingan Liga Super, satu kali Piala FA, dua kali Piala Malaysia, satu kali Piala AFC serta tujuh Piala Sumbangsih.
Tidak hairanlah, terdapat ura-ura mengatakan bahawa beliau akan menyertai sama ada Negeri Sembilan FC (NSFC) atau Sabah FC pada musim depan.
Tidak dinafikan, setiap kelab atau pasukan pasti akan berdepan dengan pro dan kontra setiap kali disertai oleh pemain baharu.
Justeru, berikut merupakan pro dan kontra sekiranya Aidil menyertai Negeri Sembilan atau Sabah musim depan:
Negeri Sembilan FC (NSFC)
Pro: 1) Pengganti ideal Khuzaimi Piee
Jimmy dijangka dilamar Selangor FC pada musim depan. — FAM
Khuzaimi Piee yang juga pertahanan NSFC dikhabarkan bakal menyertai Selangor FC pada musim depan.
Justeru, pemergian Khuzaimi atau lebih mesra dipanggil Jimmy ke kelab The Red Giants dijangka membuka ruang kepada Aidil untuk menyertai skuad Jang Hobin.
Prestasi Khuzaimi dalam skuad Jang ini memberikan impak apabila skuad kendalian K. Devan, dibolosi sembilan kemenangan dalam 17 perlawanan liga yang telah mereka lalui setakat ini.
Oleh itu, kehilangan pertahanan kental ini ke Selangor akan memberikan kesan, apabila berdepan dengan kesukaran untuk mencari pemain yang berpengalaman serta berkebolehan untuk mengetuai tembok pertahanan pasukan.
Seperti peminat sedia maklum, pengalaman yang dimiliki Aidil sememangnya tidak boleh dipandang rendah apabila dia telah bermain di tahap tertinggi sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa lebih daripada 10 tahun.
2) Kembali beraksi bersama kembar
Gabungan Aidil (kiri) dan Zaquan (kanan) pasti menguatkan benteng Jang Hobin. — Agensi
Umum mengetahui bahawa, Aidil mempunyai kembar seiras iaitu Zaquan Adha yang kini menggalas lilitan kapten dan juga penyerang utama dalam skuad Jang Hobin.
Oleh itu, gabungan kembar ini sudah pasti bakal menjadikan benteng Negeri Sembilan lebih kuat disebabkan keserasian hubungan adik-beradik.
Apatah lagi, kedua-duanya merupakan anak jati Negeri Sembilan dan sudah pasti akan bermain bersungguh-sungguh untuk negeri kelahiran mereka.
Sebelum ini, pasangan kembar berkenaan juga pernah beraksi bersama-sama NSFC di awal kemunculan masing-masing dalam karier bola sepak, selain kedua-duanya menyarung jersi JDT sebelum Zaquan Adha berkelana ke Kedah lalu kembali ke pangkuan NSFC musim ini.
Kontra: 1. Usia semakin meningkat
Selain itu, penyokong pasukan NSFC pasti mahu melihat kebangkitan dan prestasi skuad ini terus berada di tahap terbaik buat beberapa tahun lamanya.
Oleh itu, sekiranya pihak pengurusan mengambil pemain yang berusia ini, kelibatnya pasti tidak akan lama, malah penyokong boleh meneka tempoh perkhidmatannya akan digunakan secara singkat.
Mereka pasti akan melihat tonggak pertahanan tempatan mahupun import yang mampu bermain di tahap terbaik buat bertahun-tahun, dalam usaha membawa kejayaan manis buat NSFC.
Ketika usia semakin meningkat, sudah pasti stamina seseorang pemain tidak sama seperti dahulu.
Aidil kini berusia 35 tahun, umur yang dianggap sudah berusia dalam dunia bola sepak mungkin sukar bergerak lincah untuk bersaing dengan pemain-pemain yang lebih muda.
2. Masalah gaji
Berdasarkan transfermarkt, harga pasaran pemain yang dimilii oleh Aidil ketika ini adalah sebanyak €100,000 atau bersamaan kira-kira RM447,300.
Nilai tersebut dianggap tinggi dan tidak mustahil sukar untuk ditampung oleh NSFC.
Tambahan pula, kebanyakan pemain Jang Hobin masih muda dan belum lagi bergelar bintang dalam Liga Malaysia.
Jika Aidil enggan menerima pemotongan gaji yang diterimanya ketika bersama JDT, agak mustahil untuk menjadikan perpindahannya ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menjadi kenyataan musim depan.
Sabah FC
Pro: 1. Beri manfaat kepada Ong Kim Swee
Kim Swee (kiri) dan Aidil (kanan) ketika menghadiri satu sidang media pada dua tahun lalu. — Agensi
Pengalaman dan keserasian pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee dan Aidil juga pasti mudah untuk dicari, apabila kedua-dua individu ini pernah bersama-sama dalam pasukan kebangsaan.
Ini pasti tidak sukar buat Kim Swee untuk membawa masuk Aidil ke dalam kesebelasan utama skuad The Rhinos, bagi mengharungi musim depan yang semakin sengit dengan persembahan pasukan-pasukan lawan yang juga sudah menemui rentak masing-masing.
Oleh itu, ia bukanlah satu perkara yang mengejutkan sekiranya ketua jurulatih Sabah itu menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat anak jati Negeri Sembilan ini.
2. Kempen mencabar
Sebelum ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan bahawa saingan Liga Super musim depan akan disertai 18 pasukan dengan Liga Perdana akan dimansuhkan bagi tempoh tertentu.
Lantaran itu, perlawanan akan ditingkatkan sehingga 34 pada setiap musim.
Perkara ini pasti akan menyebabkan jurulatih mahu pasukan mereka lebih bersedia menerusi penampilan pemain yang lebih sesuai.
Di samping itu, Sabah yang menduduki tempat kedua seperti sudah melayakkan diri ke pentas Asia.
Oleh itu, ini akan memberi tekanan untuk pasukan Sang Badak
Jadi, dengan adanya penglibatan Aidil ke dalam skuad itu, ia akan memberikan kelegaan buat Kim Swee untuk mempunyai skuad depth yang lebih besar.
Kontra: 1. Limpahan pemain bintang
Terdapat ramai bintang yang semakin menyinar dalam skuad Sabah FC. — Bernama
Sabah FC mempunyai ramai bintang berbakat dalam bola sepak seperti Khairul Fahmi Che Mat, Dominic Tan, Rizal Ghazali, Baddrol Bakhtiar, Irfan Fazail dan Jose Embalo, yang dianggap sudah cukup stabil memperkuat benteng pasukan tersebut.
Meskipun Aidil dan beberapa pemain tersebut sudah mengenali antara satu sama lain dalam skuad Harimau Malaya, keserasian pasti sukar untuk dicapai, apabila mereka serba sedikit mahu memberikan impak di atas padang dalam membawa Sabah ke tahap yang berbeza.
Persoalannya, mampukah mereka meletakkan ego dan pendapat tersendiri bagi memastikan skuad ini mampu mencapai objektif berpasukan?
Hanya Kim Swee yang mampu menjawab perkara ini.
Masalah penstrukturan gaji gara-gara lambakan pemain bintang juga pastinya enggan menjadi agenda utama Presiden Bola Sepak Sabah (Safa), Datuk Seri Bung Mokhtar Radin ketika pembentangan bajet kelab musim depan.
2. Prestasi kurang memberangsangkan atau 'kambing hitam'
Aidil sering dijadikan 'kambing hitam' dalam pasukan yang disertainya, ketika mereka gagal mencatatkan kemenangan mahupun dibolosi gol-gol mudah berikutan prestasinya yang tidak konsisten.
Meskipun perkara itu hanyalah pandangan segelintir penyokong bola sepak tempatan, prestasi Aidil yang semakin merudum pasti menyebabkan pihak pengurusan berfikir panjang untuk mendapatkan khidmat bekas kapten Harimau Malaya itu.
Di samping itu, keputusan ini pasti tidak akan menggembirakan penyokong yang mahu skuad The Rhinos dibintangi pemain mampu membawa kestabilan terutamanya anak jati Sabah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram