Saham makin naik, 3 kelab tagih khidmat Bojan Hodak


  • Podium
  • Jumaat, 26 Ogos 2022

Di bawah bimbingan Bojan Hodak, KL City berjaya menundukkan PSM Makassar dengan keputusan 5-2 untuk bergelar juara Zon Asean. — Facebook

KL City FC meneruskan kemaraan ke pentas Piala AFC 2022 selepas menundukkan kelab dari Indonesia, PSM Makassar 5-2 untuk bergelar juara Zon Asean di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, pada Rabu.

Kejayaan itu membuktikan kesungguhan KL City memanfaatkan peluang tersebut sebaik-baiknya di kejohanan berprestij berkenaan walaupun musim 2022 memberi cabaran termasuk kehilangan tonggak pertahanan Daniel Ting.

Selain itu, KL City juga terjerat dengan masalah penyerang membabitkan Dominique Da Sylva, Kyrian Nwabuaeze dan Kevin Koubemba.

Di sebalik masalah-masalah itu, pengendali KL City, Bojan Hodak tetap komited memberikan yang terbaik dari segi taktikal dan kepimpinan hingga dia menjadi antara watak penting dalam kejayaan pasukan itu.

Dengan ciri-ciri yang ada pada jurulatih dari Croatia itu, khidmatnya sudah ditentu ditagih kelab yang menghadapi masalah kejurulatihan ketika ini.

298760679_482694250358597_1285345679533953022_n

Kedah tewas di peringkat separuh akhir Zon Asean Piala AFC. — Facebook

1) Kedah Darul Aman (KDA FC)

Berikutan prestasi Kedah yang semakin merudum termasuk tewas di peringkat separuh akhir Zon Asean Piala AFC, banyak pihak mendesak agar jurulatihnya, Aidil Shahrin Sahak untuk melepaskan jawatan.

Penyokong mendakwa Aidil banyak mencipta alasan demi alasan bagi menutup kelemahannya ketika mengemudi Kedah.

Memandangkan musim ini sudah hampir sampai ke penghujung yang menyaksikan kontraknya bersama Kedah akan tamat, ramai penyokong mahu Bojan Hodak yang pernah mengendalikan Johor Darul Takzim (JDT) untuk mengemudi Sang Kenari.

299708808_488182176646849_4715340296877426650_n

Skuad Merah Kuning juga berdepan masalah kejurulatihan pada musim ini. — Facebook

2) Selangor FC

Selain KDA FC, skuad Merah Kuning juga berdepan masalah kejurulatihan. Kegagalan pasukan Selangor menyerap DNA Jerman yang diusahakan bekas ketua jurulatih, Michael Feichtenbeiner dikaitkan dengan isu ketidakserasian para pemain dengan figura tersebut.

Ia lantas menyaksikan Feichtenbeiner akhirnya melepaskan jawatan ketua jurulatih pasukan utama yang digalas selama setengah musim.

Tugas tersebut kini digalas oleh pembantu ketua jurulatih, Nidzam Jamil, namun dia setakat ini, belum dapat menterjemahkan dalam bentuk kejayaan apatah lagi memulihkan semula imej skuad Gergasi Merah.

KELANTAN-FC-1

Kelantan FC pernah mengesahkan kedudukan selaku kuasa besar bola sepak negara musim 2012. — Facebook

3) Kelantan FC

Pasukan The Red Warriors juga perlukan barisan kejurulatihan yang mantap seperti yang dilalui KL City di bawah bimbingan Bojan Hodak.

Ada penyokong merasakan Bojan Hodak perlu mengendalikan Kelantan FC dan membawa kembali Kijang Merah melalui zaman kegemilangan seperti yang pernah dilakukan bersama Kelantan.

Bojan membawa pasukan Kelantan menjuarai Piala FA buat kali pertama dengan mengalahkan pasukan Sime Darby pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil. Seterusnya, Bojan berjaya mengekalkan kejuaraan Liga Super 2012 yang dimenangi Kelantan pada musim sebelumnya.

Pasukan itu juga melayakkan diri suku akhir Piala AFC 2012 tetapi mereka kalah kepada Arbil FC dari Iraq, dengan agregat 3-6.

Kelantan turut mengesahkan kedudukan selaku kuasa besar bola sepak negara musim 2012 dengan melengkapkan kejuaraan treble selepas menjulang Piala Malaysia buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun apabila menewaskan pasukan ATM.

Dia meninggalkan pasukan itu selepas berakhirnya musim 2013. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram