Bas diguna parti politik, 'fans' bola desak tolonglah lebih serius jaga imej eksklusif kelab


  • Podium
  • Sabtu, 27 Ogos 2022

Bas TFC yang digunakan oleh sebuah parti politik untuk ke persidangan di Kuala Lumpur. — Facebook/Ahmad Razif

CAMPUR tangan politik dalam arena bola sepak tempatan merupakan perkara yang paling ditentang dalam kalangan penyokong kerana dikhuatiri parti politik atau ahli politik berkenaan akan meletakkan kepentingan peribadi dalam sesebuah kelab bola sepak.

Isu campur tangan politik ini juga pernah dibicarakan oleh pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa sekiranya ada campur tangan politik dalam bola sepak dikhuatiri akan membantutkan usaha pihaknya untuk memajukan Liga Malaysia (Liga M).

Terbaharu, dalam kesibukan Terengganu FC (TFC) membuat persiapan untuk pentas akhir Piala FA, kecoh di media sosial apabila sekeping gambar perkongsian seorang ahli parti politik Malaysia berkongsi menggunakan bas skuad Penyu untuk ke persidangan Umno di Kuala Lumpur.

Gambar tersebut meraih pelbagi komen dari penyokong skuad penyu dan rata-rata berpendapat sebuah kelab bola sepak sepatutnya tidak membiarkan parti politik menggunakan kemudahan pasukan itu demi menjaga imej.

Penyokong TFC, Piang Shankly berpendapat lebih baik kemudahan seperti bas berkenaan digunakan untuk kegunaan pemain akademi Terengganu.

tfc33

Bas TFC yang digunakan oleh sebuah parti politik untuk ke persidangan di Kuala Lumpur. — Facebook Ahmad Razif

"Setiap fasiliti kelab kena ada eksklusif. Sepatutnya hanya yang terpilih sahaja dapat menggunakan fasiliti kelab. Kelab profesional yang besar, menggunakan fasiliti ini sebagai dorongan untuk pemain-pemain akademi mereka untuk berusaha dengan lebih bagi mendapat privilage untuk gunakan fasiliti skuad utama seperti bermain di stadium utama, berlatih di pusat latihan termasuk munggunakan bus skuad utama," katanya di Facebook.

Malah baginya, sekalipun parti politik itu perlu menggunakan fasiliti berkenaan, mereka perlulah menutup logo dan nama kelab tersebut untuk mengelak daripada sebarang kontroversi.

"Kelab kena protect dari pihak luar gunakan logo dan nama kelab untuk tujuan komersial diluar dari apa yang dibenarkan oleh kelab. Kita faham dengan deal sedia ada dengan pihak penaja yang mana bas TFC boleh digunakan oleh pihak penaja di luar jadual kegunaan club (secara peribadi saya kurang bersetuju dengan deal macam ini).

"Tapi bila ia digunakan untuk aktiviti politik, ini sangat-sangat tidak boleh diterima. Tak kira untuk parti hijau atau biru. Sekurang-kurangnya tutuplah logo dan nama kelab sebelum diberi sewa kepada pihak luar. Atau mungkin ada cara lain, anda fikir la. Terengganu FC kena lebih serius dalam menjaga imej kelab," katanya.

Majoriti kini cuba mendapatkan pihak pengurusan TFC bagi mengulas isu berkenaan.

Dalam pada itu, penolong jurulatih TFC, Hairuddin Omar semasa dihubungi enggan memberi komen berkenaan isu penggunaan bas skuad Penyu itu kerana ia di luar bidang kuasanya, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada pengurusan TFC untuk memberikan komen lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram