PRESTASI Kelantan FC yang berada di bawah kendalian Rezal Zambery Yahya berada di tahap yang tersendiri di Liga Perdana apabila berjaya mengumpul 36 mata daripada 16 perlawanan yang dihadapi.
Berada di tempat kedua, Kelantan FC mencari peluang untuk mendapatkan mahkota itu selepas mengharungi satu kempen yang boleh dikatakan cemerlang dalam kalangan penyokong.
Namun, berita mengejutkan daripada ketua jurulatih itu memaklumkan bahawa mereka tidak akan bersama-sama musim depan berikutan masalah lesen kejurulatihan.
"Untuk musim depan, saya tidak akan bersama pasukan The Red Warriors (TRW) kerana saya tidak mempunyai lesen kejurulatihan seperti yang ditetapkan perbadanan Malaysian Football League (MFL)," katanya kepada Majoriti.
Jelasnya, bagi ketua jurulatih yang mengemudi pasukan di Liga Super, mereka perlu mendapatkan lesen kejurulatihan Pro A sementara pengendali kelahiran Johor ini hanya mempunyai lesen kejurulatihan A.
"Walaupun saya cuba untuk mendapatkan lesen itu, saya masih tidak mempunyai tempoh perkhidmatan yang cukup, iaitu selama tiga tahun selepas saya hanya berkhidmat sebagai ketua jurulatih bermula tahun lepas.
"Jika saya mahu mengambil lesen itu sekalipun, saya perlu menunggu sehingga pertengahan tahun depan bagi memohon dan menduduki kursus bagi mendapatkan lesen tersebut," katanya.
Kelantan FC berjaya mendapatkan rentak di bawah kendalian Rezal Zambery — Facebook/TRW Kelantan FC
Selain itu, Rezal turut berkata, masa depannya bersama Kelantan FC hanya boleh dijawab pihak pengurusan apabila dia masih mempunyai kontrak tiga tahun bersama kelab itu.
Dalam masa sama, ketua jurulatih berusia 43 tahun ini juga tidak dapat memberikan ulasan lanjut mengenai penggantinya apabila mereka hanya memberikan tumpuan kepada baki-baki perlawanan.
"Saya tidak dapat memberikan nama jurulatih yang bakal menggantikan khidmat saya dalam Liga Super musim depan apabila saya mempunyai dua perlawanan penting untuk mendapatkan takhta juara Liga Perdana," katanya.
Kelantan FC selepas ini akan berdepan Selangor FC II dalam saingan liga sebelum menerima kunjungan Kelantan United FC sebelum menutup tirai musim 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram