KELANTAN FC menang bergaya apabila berjaya membenam pasukan PDRM FC 2-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu.
Dua gol buat pasukan The Red Warriors itu disumbang oleh penyerang, Nurshamil Abd Ghani pada minit ke-68 dan pemain tengah, Ikhwan Yazek pada minit ke-77 perlawanan.
Sementara itu, gol bagi pasukan pelawat pula dicatat hasil 'sumbangan' penjaga gol kelantan FC sendiri, Nik Amin yang melakukan kesilapan pada minit ke-30 perlawanan.
Rata-rata penyokong memuji percaturan yang diletakkan ketua jurulatih TRW, Rezal Zambery Yahya pada perlawanan kali ini setelah melihat bahagian pertahanan pasukan tersebut kekal kebal dari asakan lawan sepanjang 90 minit perlawanan.
Bagaimanapun, terdapat kegusaran dalam kalangan mereka berkenaan dengan kadar kecederaan yang bakal menghantui pemain-pemain TRW apabila terpaksa bermain tiga perlawanan dalam masa sembilan hari.
Pada 5 Ogos lalu, Kelantan FC terpaksa berhempas pulas dalam usaha mematahkan langkah skuad projek FAM-MSN sebelum berjaya meraih kemenangan 1-0 ke atas mereka.
Kepenatan jelas mempengaruhi prestasi pasukan TRW apabila tewas tipis dengan Perak FC 1-2 dalam saingan yang berlangsung pada Rabu lalu.
Kesebelasan utama yang diturunkan untuk menentang PDRM FC. — Facebook/ TRW
Meskipun meraih kemenangan ke atas PDRM pada Sabtu, pemerhati sukan TRW, Zuraimi Zukri mendapati kecergasan pemain-pemain TRW semakin merosot.
"Kecederaan berganda. Fizikal mereka semakin merosot untuk bertahan selama 90 minit. Kesan daripada bermain petang dengan keadaan cuaca masih terik.
"Minggu ini sahaja (dalam masa sembilan hari), mereka bermain sebanyak tiga kali. Semoga kalian kuat," katanya.
Pendapat itu disokong Arif Hakimi Mohd Azani yang turut bersimpati dengan nasib pemain-pemain dalam Liga Malaysia (Liga M) yang sering menghadapi isu jadual padat.
"Standard dah Liga M, orang-orang yang bertanggungjawab buat jadual perlawanan tidak ada pengetahuan tentang sains sukan," katanya.
Azuan Hamdan menambah, "Alhamdulilah menang. Semoga semua pemain segera pulih dari kepenatan yang membelenggu mereka," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram