Sathianathan respons khabar angin kendali Perak FC


  • Podium
  • Khamis, 25 Ogos 2022

Pengalaman Sathianathan pasti menggembirakan penyokong Perak FC.

PERSOALAN mengenai ketua jurulatih baharu skuad Perak FC masih belum terjawab meskipun terdapat beberapa khabar angin kencang yang mengatakan The Bos Gaurus akan mengambil individu yang berpengalaman.

Antara nama yang kebelakangan ini dibangkitkan peminat bola sepak pasukan tersebut adalah bekas ketua jurulatih Felda United FC dan pasukan kebangsaan, B Sathianathan.

Beliau yang sememangnya berpengalaman dalam bidang kejurulatihan pastinya merupakan salah seorang yang dikehendaki penyokong Perak FC yang ketika ini sedang bergelut dalam persaingan Liga Perdana.

Mempunyai pengalaman sebagai ketua jurulatih seawal tahun 2007, pengetahuan yang dimiliki anak jati Perak ini sememangnya tidak boleh dipandang remeh mana-mana pasukan.

Selain itu, Sathianathan merupakan seorang ketua jurulatih yang mampu membawa kejayaan kepada mana-mana pasukan bergelut apabila dia berjaya mengemudi Felda United FC menuju ke saingan Liga Super 2019.

Kriteria ini pastinya menggembirakan penyokong The Bos Gaurus apabila pasukan serta pemain yang dimiliki mereka ketika ini tidak berada dalam keadaan dan profil yang terbaik.

Namun, meskipun khabar angin itu bertiup kencang, Sathianathan masih tidak dapat memberikan jawapan kepada minat yang ditunjukkan penyokong apabila masih tiada perkhabaran rasmi daripada pihak pengurusan.

"Saya sendiri pun tidak tahu dengan minat dan khabar angin itu. Bagi saya, ini cuma satu ura-ura," katanya ketika dihubungi Majoriti.

Ini berikutan masih ada berita tidak rasmi yang mengatakan pasukan The Bos Gaurus turut berminat untuk mendapatkan salah seorang daripada dua bekas jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe dan K. Rajagobal untuk menjadi ketua jurulatih.

Mengulas lanjut, Sathianathan juga menjangkakan beliau akan mampu kembali sebagai ketua jurulatih dalam masa dua bulan lagi setelah sembuh sepenuhnya.

Selangor’s head coach B.Sathianathan react during the CIMB Malaysia Super League 2020 at Bukit Jalil National Stadium in Kuala Lumpur on Saturday, MARCH 7, 2020. - MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star.

Sathianathan terpaksa berehat berikutan masalah kesihatan.

Beliau yang sebelum ini mengemudi pasukan Sarawak United FC terpaksa berehat berikutan masalah kesihatan yang menyebabkannya tidak mampu bertugas dengan baik.

"Saya menurut nasihat doktor yang mengatakan saya boleh kembali ke dalam dunia kejurulatihan dalam masa dua bulan lagi.

"Walaupun saya dah sihat sekarang ini, saya rasa lebih baik untuk mengikut nasihat doktor yang mengatakan saya perlu berehat dahulu," katanya.

Tambahnya, dia juga terbuka untuk menyertai mana-mana pasukan yang membuat tawaran terhadapnya dalam usaha kembali ke dalam dunia pengurusan.

"Saya rasa, dengan pengalaman yang saya ada ni, saya terbuka dengan mana-mana kelab yang memberikan tawaran terhadap saya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram