Masa Aidil Sharin semakin singkat, 2 legenda dalam radar kembali ke Kedah


  • Podium
  • Rabu, 03 Ogos 2022

Aidil dikatakan hanya bertahan sehingga hujung musim sahaja. — Agensi

KEMEROSOTAN mutu permainan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini merancakkan lagi spekulasi mengenai penamatan kontrak ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak.

Aidil cemerlang membawa KDA FC dalam kancah Piala AFC apabila melepasi peringkat kumpulan dan akan bersaing dalam peringkat separuh akhir Zon Asia Tenggara pada 9 Ogos ini.

Malangnya, di sebalik kecemerlangan membawa Sang Kenari terbang tinggi, ada masanya KDA FC melalui detik-detik sukar yang tidak menggembirakan peminat.

Sejak kembali semula beraksi dalam kancah liga tempatan selepas kempen peringkat kumpulan Piala AFC, KDA FC sudah mengharungi lima perlawanan termasuk saingan Piala FA.

Namun, daripada kesemua perlawanan itu, skuad kendalian Aidil hanya mencatatkan satu kemenangan ketika bertemu Sarawak FC di Stadium Darul Aman, Kedah manakala selebihnya, Sang Kenari ditewaskan lawan masing-masing termasuk tersingkir di suku akhir Piala FA.

Ternyata prestasi merudum yang dihadapi KDA FC merisaukan penyokong yang melihat pasukan kesayangan mereka seolah-olah tidak beraksi di tahap yang maksimum.

Para penyokong juga sudah muak dengan alasan demi alasan yang diutarakan oleh Aidil setiap kali pasukannya kecundang dalam perlawanan.

Mungkin Aidil ada perancangan tersendiri untuk fokus ke saingan AFC dan Piala Malaysia, memandangkan saingan Liga Super seolah-olah tidak makna lagi kerana format baharu musim depan menyaksikan tiada penyingkiran akan berlaku.

Malah tidak mustahil pengurusan KDA FC memberi masa kepada Aidil sehingga hujung musim ini untuk menamatkan saingan Liga M termasuk Piala Malaysia dan Piala AFC sebelum kontraknya ditamatkan.

Difahamkan, tempat Aidil bakal digantikan oleh bekas jurulatih Kedah dan Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang dikhabarkan bersedia untuk kembali ke pasukan tersebut.

Khidmat Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih kebangsaan ditamatkan susulan kegagalan Harimau malaya di Piala Suzuki AFF. Agensi

Ini diperkuatkan lagi dengan laporan media tempatan pada Julai lalu melaporkan Cheng Hoe bakal membuat kemunculan kembali untuk menguruskan pasukan yang bersaing di Liga Malaysia musim ini.

Jika benar, ini kemunculan pertama Cheng Hoe sebagai jurulatih selepas mengambil keputusan untuk berehat setelah jawatannya sebagai jurulatih kebangsaan digantikan dengan jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon pada awal tahun lalu.

Cheng Hoe juga sebelum ini menjawab spekulasi mengenai akan melatih semula pasukan Sang Kenari melihat kelibatnya bersama Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Kedah.

Menurutnya, kehadirannya bersama Muhammad Sanusia hanyalah untuk menunaikan ajakan rakannya bagi turun bermain bola.

Kali terakhir Tan Cheng Hoe menguruskan pasukan Liga Malaysia ialah ketika beliau mengendalikan pasukan KDA FC pada musim 2017 sebelum diserap masuk dalam staf kejurulatihan pasukan negara yang ketika itu diterajui oleh Nelo Vingada.

Bersama Kedah, Cheng Hoe membimbing pasukan itu memenangi gelaran Liga Premier pada 2015 disusuli dengan Piala Malaysia pada 2016 yang mana ketika itu Kedah menewaskan Selangor menerusi penentuan sepakan penalti di pentas akhir.

Bagai sirih pulang ke gagang, kepulangan Baddrol pasti melonjakkan lagi semangat pasukan tersebut. — Agensi

Pada musim 2017, KDA FC berjaya memenangi Piala Sumbangsih dimana mereka menewaskan Johor Darul Takzim (JDT) menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa sebenar permainan.

Dalam pada itu, wujud spekulasi mendakwa bekas pemain KDA FC yang beraksi bersama Sabah FC, Baddrol Bakhtiar akan mengikut jejak langkah Cheng Hoe.

Baddrol pernah berbakti kepada KDA FC selama lebih 16 tahun menabur bakti sebelum membuat keputusan ke Sabah untuk beraksi di bawah pimpinan bekas jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee pada musim ini.

Kembalinya Cheng Hoe dan Baddrol ke KDA FC sudah pasti menggembirakan penyokong Kedah yang mahu perubahan berlaku dalam pasukan tersebut.

Ini kerana antara faktor kelemahan skuad KDA FC termasuk ketiadaan kapten yang benar-benar berkualiti dan berpengaruh di atas padang selain perubahan taktikal yang diharapkan penyokong.

Posisi kapten KDA FC ketika ini disandang oleh Syazwan Zainon, tetapi dia dilihat tidak mempunyai aura seperti Baddrol yang disifatkan sebagai 'jeneral' dalam kalangan peminat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram