'Lepas ini level Barcelona', penyokong Perak FC teruja dikaitkan dengan TCH


  • Podium
  • Rabu, 24 Ogos 2022

Pasukan Perak FC dikhabarkan akan dibimbing oleh Tan Cheng Hoe pada musim depan. — Facebook/The Bos Gaurus

KHABAR angin dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan sedang hangat diperkatakan apabila bekas ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe disebut-sebut hampir pasti membimbing pasukan The Bos Gaurus.

Perkara tersebut dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam yang mengatakan Cheng Hoe difahamkan memilih Perak bagi saingan musim 2023.

Sebelum ini timbul khabar angin yang mana bekas jurulatih Kedah itu akan sertai pasukan daripada Lembah Klang namun beliau sendiri menafikan perkara tersebut.

Kali terakhir Cheng Hoe menguruskan pasukan Liga Malaysia ialah ketika dia mengendalikan pasukan Kedah Darul Aman pada musim 2017 sebelum diserap masuk ke dalam staf kejurulatihan pasukan negara yang ketika itu diterajui oleh Nelo Vingada.

Bersama Kedah, Cheng Hoe membimbing pasukan itu memenangi gelaran Liga Perdana pada 2015 disusuli Piala Malaysia pada 2016 yang mana ketika itu Kedah menewaskan Selangor menerusi penentuan sepakan penalti di pentas akhir kejohanan tersebut.

perak-FC-8

Penyokong Perak tidak sabar untuk melihat corak permainan Tiki-Taka yang akan dibawa Cheng Hoe. Agensi

Ternyata khabar angin tersebut menghadirkan perasaan teruja dalam kalangan penyokong Perak yang sudah lama mengimipikan untuk melihat pasukan mereka kembali gah seperti dahulu.

Menerusi ruangan komen Facebook, rata-rata penyokong Perak tidak sabar untuk melihat corak permainan Tiki-Taka yang akan dibawa Cheng Hoe ketika dia membimbing pasukan Kedah dan skuad kebangsaan.

"Bila lantik Tan Cheng Hoe, mungkin ini sahaja jalan untuk menaikkan semula Perak, pastinya nanti ramai anak-anak buah dari Harimau Malaya akan sertai Perak sama seperti Datuk Ong Kim Swee di Sabah," kata Zamri Perak.

"Harap semuanya berjalan dengan lancar, masa untuk rekrut pemain yang sesuai dengan taktikal Cheng Hoe macam Mehmet Durakovic lakukan sebelum ini," jelas Harun Osman.

"Confirm tahun depan corak permainan The Bos Gaurus macam Barcelona, sebab Cheng Hoe memang terkenal dengan taktikal Tiki-Taka yang dia implement dalam skuad Harimau Malaya dan Kedah," luah Zarif Fikri.

"Kalau betul khabar angin ini, Ong Kim Swee pun boleh naikkan Sabah sekarang, TCH mesti boleh ulangi kejayaan tersebut," ujar Jepp Azman.

Cheng Hoe boleh dianggap sebagai salah seorang jurulatih berpengaruh di Malaysia selepas menjadi pengendali Harimau Malaya sejak 2018, sebelum meletakkan jawatan awal tahun ini ekoran prestasi hambar pada kempen Piala AFF 2020. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram