Penyokong Kedah mengadu, selamba bekas coach pujuk


  • Podium
  • Jumaat, 12 Ogos 2022

Marcote (kanan) mula menabur bakti bersama Kedah sebagai jurulatih kecergasan pada tahun 2015 — Facebook Marcote

TERKENAL dengan sikap ramahnya dengan peminat sukan bola sepak tanah air, bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ramon Marcote sekali lagi menjadi tumpuan setelah meninggalkan satu komen di halaman Facebook miliknya pada Rabu.

Jurulatih berusia 44 tahun berkenaan meminta peminat dan skuad Hijau Kuning untuk meneruskan perjuangan setelah KDAFC tewas 2-1 di tangan PSM Makassar pada Selasa di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali, Indonesia, sekali gus memusnahkan harapan pasukan itu untuk beraksi di pentas Piala AFC.

"Teruskan perjuangan.

"Masa yang lebih baik akan tiba tidak lama lagi," demikian tulisnya.

Jurulatih berasal dari Sepanyol itu memberikan kata-kata semangat itu setelah salah seorang peminat Sang Kenari, Mael meluahkan rasa kecewanya dengan kekalahan di separuh akhir Zon ASEAN.

WhatsApp Image 2022-08-11 at 19.37.15

Tangkap layar komen Marcote yang memujuk hati peminat selepas kekalahahan KDAFC pada separuh akhir Zon ASEAN.

Peminat tersebut turut mengucapkan tahniah pada bekas jurulatih itu di atas kemenangan skuad kendalian Marcote iaitu Ethnikos Achna FC dalam perlawanan persahabatan menentang Paralimni.

"Tahniah tuan tetapi kami di sini kecewa.

"Pasukan gagal mara ke peringkat akhir Zon ASEAN," tulisnya di ruang komen gambar yang dimuat naik Marcote.

Marcote mula menabur bakti bersama Kedah sebagai jurulatih kecergasan pada tahun 2015.

Beliau merupakan salah seorang daripada staf kejurulatihan di bawah pimpinan jurulatih Kedah FA ketika itu, Tan Cheng Hoe.

Marcote pernah diberikan tanggungjawab untuk memangku posisi ketua jurulatih skuad Hijau Kuning.

Pada penghujung 2017, Marcote secara rasminya dilantik menjadi ketua jurulatih Kedah dan sempat membimbing pasukan berpangkalan di utara semenanjung tanah air itu selama beberapa bulan.

Pada penghujung Mac 2018, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) melakukan sedikit perubahan di dalam sistem kejurulatihan mereka menyaksikan Marcote diberikan peranan baharu sebagai Ketua Jurulatih Pembangunan Bola Sepak KFA.

Marcote kini diberikan amanah sebagai pengurus sebuah kelab di Timur Tengah, Ethnikos Achna FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram