Resah serangan tumpul, Sang Penyu waspada amukan Tok Gajah


  • Podium
  • Ahad, 21 Ogos 2022

Faisal Halim antara tonggak yang menjadi sandaran pasukan Terengganu FC menentang Sri Pahang FC pada Ahad. — Facebook

PERTEMBUNGAN Derbi Pantai Timur antara Sri Pahang FC menentang Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada Ahad pasti menjadi tumpuan.

Ini kerana kedua-dua pasukan tersebut hanya berbeza dua mata yang menyaksikan TFC di tangga ke-4 dengan 23 mata manakala Sri Pahang FC di kedudukan ke-5 carta Liga Super dengan 21 mata.

Skuad Tok Gajah berada dalam momentum terbaik selepas mencipta empat kemenangan pada aksi terakhirnya selain seri sekali selepas dibimbing pengendali berpengalaman, Datuk Dollah Salleh.

Sang Penyu yang dikendalikan jurulatih muda, Nafuzi Zain pula meraih dua kemenangan berturut-turut selain berada dalam mood untuk menempuh aksi final Piala FA dengan Johor Darul Takzim (JDT).

Melihat kemaraan Sri Pahang FC, TFC perlu bersiap siaga memandangkan pasukan itu pasti memiliki misi untuk menebus kekalahan mereka pada aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada awal Julai lalu.

Penolong Ketua Jurulatih TFC, Hairuddin Omar berkata, Pahang pasti mahu mengulangi skrip sama ketika mereka menewaskan Penang FC 3-2 dalam aksi Liga Super, pada Khamis lepas.

299863064_1528665714230771_1154671653266280970_n

Kpah (dua kanan) tidak berada dalam tahap kecergasan terbaik dan mungkin tidak beraksi menentang Sri Pahang, pada Ahad. — Facebook

"Pahang banyak improve sekarang di bawah coach Dollah. Game yang sukar esok...pastinya Pahang mahu balas dendam kalah pada TFC pada pusingan pertama.

"Mereka sekarang berada dalam mood dan momentum yang terbaik," katanya kepada Majoriti.

Ditanya jika TFC memilki kelebihan selepas salah seorang winger Pahang, Shahrul Nizam Nadzir mungkin tidak dapat beraksi kerana menghidap denggi, Hairuddin berpendapat sebaliknya.

"Walaupun Shahrul Nizam tiada tapi saya tidak menganggap itu sebagai kelebihan kepada TFC kerana Pahang mempunyai ramai lagi pemain yang berkualiti," katanya.

TFC perlu berwaspada dengan penyerang import Pahang, Steven Rodriguez dan Manuel Hidalgo yang mempamerkan aksi cemerlang.

"Kami sendiri ramai pemain yang kurang cergas. Kedua-dua striker iaitu Kpah Sherman, Kipre Tchetche tidak berada dalam tahap kecergasan terbaik. Kpah mungkin tak dapat main sebab cedera. Petrus Shitembi juga tak berapa cergas," ujarnya.

Hal itu, katanya sudah pasti meresahkan kerana ketumpulan jentera serangan akan menjejaskan keseluruhan corak permainan.

"Dengan kemaraan Sri Pahang FC, saya jangkakan esok perlawanan yang sukar buat TFC," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram